Tuesday, September 21, 2010

Sosilawati mati teraniaya: Nik Aziz




GOMBAK - Kediaman keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Taman Harmonis di sini terus menerima kunjungan pelbagai pihak semalam, termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Mursyidul Am Pas itu tiba jam 12.55 tengah hari, diiringi Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub. 

Nik Abdul Aziz, yang mewakili rakyat Kelantan, mengucapkan takziah kepada anak-anak dan saudara-mara Allahyarham dan meminta mereka bersabar menerima ujian. Turut berada di kediaman itu ialah bekas suami Allahyarham, Buhari Mohamad. 

“Arwah mati teraniaya. Jadi kita minta dosa-dosanya Allah ampunkan dan pahalanya dilipatgandakan. 

“Kita melawat ertinya kita bercakap-cakap sesuatu yang boleh menenangkan hati keluarga, sama ada nak bawa wang atau nak bercakap sahaja. Itu menjadi kewajipan orang Islam. Lebih-lebih lagi bila berlaku kematian tragis seperti ini, lagilah mustahak untuk kita datang melawat,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan bahawa setiap manusia perlu menyiapkan diri untuk menghadapi kematian dengan mengerjakan segala amalan soleh di dunia ini sebagai bekalan untuk akhirat. 

“Kita ini kepunyaan Allah, Allah bagi nyawa dan Allah juga yang ambil nyawa kita. Kewajipan masa hidup ini kita siapkan bekalan untuk masuk kubur, bukan dengan duit, makanan, tapi dengan pahala dan doa kita,” katanya. 

Buhari berkata, beliau terharu dengan kunjungan Nik Abdul Aziz dan Salahuddin dan ucapkan terima kasih kepada mereka.

No comments:

Post a Comment