Tuesday, September 21, 2010

Calon direstui Anwar 'selamat'




KOTA BHARU 20 Sept. - Seorang bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pemilihan parti itu lebih menjurus kepada pemilihan yang telah diatur dengan mereka yang direstui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti 'akan selamat'.
Menurut bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, perebutan jawatan menjelang pemilihan PKR juga menunjukkan kerakusan pemimpin-pemimpin yang ada untuk menempatkan diri mereka dalam saf kepimpinan tertinggi parti itu.
Beliau mendakwa, perkara tersebut terbukti apabila berlaku perebutan melibatkan ramai calon bagi pemilihan banyak jawatan termasuk membabitkan jawatan Naib Ketua AMK sendiri.
Dakwanya, terlampau ramai calon yang hendak bertanding bagi merebut jawatan menyebabkan ahli-ahli di peringkat akar umbi tidak mengenali mereka sehingga kemungkinan berlaku ketidaktelusan dalam proses pemilihan tersebut.
Ini kerana dakwanya, terdapat ketua-ketua cabang yang telah menyediakan senarai nama calon yang perlu dipilih pada pemilihan nanti.
"Sebenarnya, apa yang berlaku dalam PKR hari ini membolehkan rakyat melihat wajah sebenar pemimpin PKR yang sebelum ini begitu rakus turun ke bawah untuk menunjukkan keburukan UMNO dan dakwaan itu berlaku semasa pemilihan PKR," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas perkembangan menjelang pemilihan PKR yang ketika ini menyaksikan perebutan jawatan Timbalan Presiden antara Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Ahli Majlis PKR Pusat, Datuk Zaid Ibrahim.
Wan Khairul Ihsan berkata, selama 12 tahun berada dalam PKR, beliau melihat pelbagai senario yang mencerminkan wajah sebenar parti pembangkang tersebut yang jelas sangat berbeza berbanding ketika mula-mula menyertai parti berkenaan.
"Siapa yang direstui oleh Anwar akan selamat. Anwar berpolitik terlalu licik," katanya.
Mengenai kedudukan Datin Seri Dr. Wan Azizah sebagai Presiden, beliau menyifatkan isteri Anwar itu ibarat 'patung bernyawa' kerana tidak ada suara apabila semua keputusan dibuat oleh Majlis Tertinggi yang dianggotai oleh mereka yang pro-Anwar.
"Hampir kebanyakan keputusan dibuat oleh Anwar, maka sebab itu apa-apa keputusan yang dibuat oleh PKR, Anwar yang 'diserang' oleh pihak lawan, bukannya Wan Azizah," dakwanya.
Mengenai PKR di Kelantan pula, beliau menyifatkan parti itu semakin lesu berikutan perkembangan yang berlaku mutakhir ini termasuk pergolakan di cabang Tanah Merah dan kegagalan cabang Pengkalan Chepa untuk mengadakan mesyuarat agung dikatakan akibat tidak cukup kuorum.
"Kegagalan yang berlaku mencerminkan satu perkara iaitu tidak wujud keadilan dalam PKR," katanya.

No comments:

Post a Comment