Tuesday, September 21, 2010

PKR yakin sistem pemilihannya bakal diikuti

Harakahdaily  

GOMBAK, 20 Sept: PKR yakin, proses pemilihan parti itu yang sedang rancak berjalan sekarang bakal menjadi ikutan pelbagai pihak selepas ini jika ia terbukti berjaya mengekang sebarang bentuk politik wang atau salah laku.

"Kami yakin, melalui pendekatan yang ada sekarang, isu politik wang atau gejala seumpamanya berjaya dikawal dengan sendirinya melalui sistem ini," kata Ketua Strategik PKR, Tian Chua ketika ditemui semalam.

Tian Chua mengulas proses pemilihan yang sedang rancak berjalan dalam PKR sekarang. Ia merupakan satu proses baru yang belum dibuat oleh mana-mana parti politik atau pertubuhan sebelum ini.

Melalui sistem ini, semua ahli berhak membuat pencalonan dan mengundi terus pemimpin yang mereka kehendaki tanpa perlu menyerahkan mandatnya kepada perwakilan yang biasanya sangat berkuasa.

"Melalui cara ini, kita berjaya membuang kuasa perwakilan dan diserahkan terus kepada ahli. Ini kerana, selama ini para perwakilan yang banyak menentu proses pemilihan dan seterusnya terdedah kepasa rasuah, politik wang atau penyalahgunaan kuasa," kata Tian Chua yang juga anggota Parlimen Batu.

"Bayangkan selama ini perwakilan dari Sabah atau Kelantan datang ke KL. Mereka perlukan penginapan dan tambang. Bagaimana kalau ada calon yang berada membiayai penginapan dan tambang mereka ke sini. ia sudah tentu terdedah kepada politik wang.

"Melalui sistem ini, ahli memilih terus pemimpin yang mereka kehendaki tanpa perlu diserahkan kepada perwakilan. Oleh kerana mereka terlalu ramai, sukar sekali rasuah atau politik wang boleh berlaku. Ini bermakna, sistem ini sendiri yang memperbetulkan kesilapan," kata beliau.

Melalui sistem yang diperkenalkan oleh PKR ini, Tian yakin, soal politik wang yang boleh menular di mana sahaja boleh dikekang.

Tian Chua juga mengaku, apa-apa kesilapan yang dibuat oleh mana-mana pemimpin PKR dalam proses pemilihan kali ini akan diperbetulkan serta merta oleh perwakilan dan orang ramai.

"Misalnya kesilapan yang dibuat oleh penyokong Azmin (Ali) dengan cara membuat dua sidang akhbar menyokong beliau dan menggunakan kemudahan parti terus mendapat kritikan secara langsung dari perwakilan.

"Proses ini berjalan secara transparen dan terbuka dan pihak yang membuat silap merasainya terus," kata Tian Chua mengaku kesilapan tindakan para penyokong Azmin itu.

Tian Chua yakin, sistem pemilihan yang diperkenalkan oleh PKR ini bakal menjadi ikutan sebagaimana beberapa cadangan yang dibuat oleh para pemimpin Pakatan sebelum ini.

"Cuba tengok isu perayaan Malaysia. Sebelum ini ketika diraikan oleh Pakatan dua tahun lalu, ia ditolak bahkan pemimpin BN menegaskan kita sudah ada hari Malaysia iaitu 31 Ogos.

"Tetapi selepas diraikan Pakatan, pada 16 September lalu, dengan diketuai PM sendiri,  Malaysia buat pertama kalinya meraikan hari Malaysia yang ke 47. Bayangkan selepas 47 tahun lahir baru ia diraikan," kata Tian Chua.

Beliau merujuk sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu dan pada tarikh tersebut, PM telah mengumumkan cuti umum sempena hari itu.

No comments:

Post a Comment