Tuesday, September 21, 2010

Pas didakwa edar risalah hasutan


LENGGONG 20 Sept. - Tindakan parti pembangkang, Pas yang didakwa mengedarkan risalah hasutan telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk kampung di sini.
Berikutan itu, lima penduduk diketuai Ketua Kampung Lenggong, Mohd. Razli Ahmad, 50, telah membuat satu laporan polis di sini.
Menurut Mohd. Razli, risalah yang didakwa mengandungi hasutan dan fitnah parti terbabit terdapat di merata-rata tempat di kampung itu.
''Risalah ini juga diedarkan di masjid-masjid yang ada di sekitar Parlimen Lenggong. Ia sering diedarkan setiap kali umat Islam menunaikan solat Jumaat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Razli berkata, sikap parti tersebut yang cuba menimbulkan keadaan tidak harmoni di kawasan terbabit seharusnya dihentikan segera.
''Saya benar-benar terkilan mereka jadikan masjid tempat menyebarkan fitnah. Jangan jadikan masjid medan berpolitik lebih-lebih lagi perkara yang tidak benar dan fitnah," katanya.
Risalah diterbitkan oleh Lajnah Penerangan Pas pusat beralamat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bertajuk UMNO Pengkhianat Rakyat tersebut telah dikesan diedarkan sejak Ramadan lagi.
Bagaimanapun kata Mohd. Razli, tindakan keterlaluan mereka yang meracuni fikiran orang kampung menyebabkan laporan polis dibuat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, budaya fitnah yang disebarkan oleh Pas bukan sahaja boleh merosakkan hubungan baik sesama masyarakat malah meruntuhkan masa depan negara.
''Perkara ini boleh terjadi jika masyarakat terus mempercayainya tanpa menyelidik fakta yang sebenar. Saya harap pembangkang jangan menjadikan budaya fitnah ini terus menular di dalam masyarakat," katanya.
Dalam masa sama, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan akta sesuai bagi menanganinya.
''Kalau perkara ini masih berlarutan di kawasan ini (Lenggong) hingga mencapai tahap yang kronik, saya berharap Akta Hasutan akan digunakan untuk membendung gejala negatif ini," katanya.

No comments:

Post a Comment