Tuesday, September 21, 2010

Kisah peguam, anak pedalaman berjaya


- KARAM RASLAN

Francis Teron - lelaki berumur 38 tahun, seorang peguam. Beliau berpegang teguh atas pendiriannya. Berkahwin dengan Jacqueline yang separuh Bidayuh separuh Iban, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata lelaki, semua di bawah 10 tahun. 

Sebagai rakan kongsi firma guaman dan dengan kereta (termasuk Mercedes dan Toyota Fortuner), Francis adalah kisah kejayaan dalam apa jua pengukurnya. 

“Tempat kelahiran saya dikenali sebagai Bau, terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuching. Ayah guru sekolah rendah manakala ibu saya berkebun dan menjual sayur-sayuran di pasar. Sebenarnya, ibu masih menjual sayur walaupun dia tidak perlu berbuat demikian – sudah menjadi satu hobi!” 

“Saya bukan pelajar begitu cemerlang dan boleh dikira agak memberontak sehingga Tingkatan Tiga. Nasib baik, (walaupun tidak sedari ketika itu) ayah menghantar saya tinggal dengan abang sulung yang bekerja sebagai Pemeriksa Kesihatan di bandar Kapit - terkenal dengan aktiviti pembalakan. 

“Kapit sejauh empat atau lima jam menyusuri sungai dari Sibu, dan Sibu kira-kira sejam mengikut penerbangan dari Kuching. Saya berasa sangat sunyi, budak-budak sebaya di sini terlibat dengan aktiviti menghidu gam dan banyak lagi. Saya rasa tidak banyak pilihan melainkan belajar sahaja. 

“Saya juga mendapat inspirasi daripada guru bernama Douglas Telajan. Beliau mengajar saya bagaimana mengingat. Selepas itu, saya mendapat keputusan terbaik di Kapit untuk peperiksaan Tingkatan Lima.” 

“Masyarakat Bidayuh percaya dalam pendidikan dan ramai antara kami menyertai sektor awam. Kami tidak begitu 'otak perniagaan'. Saya tidak fikir kami begitu suka cabaran atau agresif seperti kaum Iban.” 

“Saya turut mempunyai guru yang baik dalam Tingkatan Enam, Cikgu Nik Nasaruddin. Kami adalah kelompok ketiga pelajar Tingkatan Enam di Kapit dan semua yang lain gagal! 

“Sebenarnya, Cikgu Nik menjanjikan RM50 jika ada antara kami mendapat ‘A’. Saya mendapat 3 ‘A’ jadi meraih RM50. Beliau juga menggalakkan saya untuk memohon jurusan undang-undang (dan bukannya sains politik) di Universiti Malaya.” 

“Selepas Kapit, Kuala Lumpur dan UM adalah suatu kejutan. Keadaan terlalu sesak dan bangunan mencanak-canak di mana-mana. Ramai orang berlaga bahu dengan anda di jalan raya tetapi tidak bertegur sapa.” 

“Belajar menjadi sangat sukar, saya pernah pening kepala untuk membaca semua buku teks undang-undang dalam bahasa Inggeris. Mungkin disebabkan itu, saya ketagih dengan arked permainan video. Namun saya masih tidak seteruk pelajar Melayu dari Kelantan dan Kedah.” 

“Saya mempunyai tanggungjawab kepada ibu bapa dan wajib layak. Walaupun ada biasiswa, ibu bapa mengeluarkan banyak wang simpanan untuk perbelanjaan saya.” 

Francis mendapati perangai pelajar Melayu-Islam di semenanjung yang agak membingungkan: “Mereka tidak begitu terbuka dan mesra seperti Melayu Sarawak. Mereka nampaknya obses dengan idea bahawa mereka adalah tuan dan masyarakat Cina dan India bukan sebahagian daripada kumpulan mereka.” 

Francis adalah lelaki muda yang serius dan tenang, mempunyai renungan yang langsung dan tabiat tetap. Sementara beliau semakin membangun, beliau juga sangat skeptikal dengan Kerajaan Negeri. Sikap memandang rendah beliau sangat ketara – menggelengkan kepala ketika saya bertanya mengenai Dewan Undangan Negeri yang tersergam indah dan baru dibina merentasi sungai dari bandar lama. 

“Di bandar kita lebih terdedah. Kita ada akses kepada maklumat walau tidak membaca akhbar arus perdana. Kita boleh nampak apa sedang berlaku. Kita boleh membuat ketetapan sendiri.” 

“Keadaan berbeza di kawasan pedalaman. Mereka benar-benar bergantung pada kerajaan untuk menyediakan bekalan air dan elektrik serta persekolahan. Di luar sana, mereka tidak boleh mengambil peluang untuk mengundi pembangkang.” 

“Masyarakat Bidayuh sangat setia tetapi kita juga nampak bagaimana kami telah dipinggirkan walaupun Sarawak menjadi tulang belakang Barisan Nasional.” 

“Tanah sangat penting bagi kami. BN sedang berusaha ke arah ini. Mereka sudah mula menjalankan tinjauan Hak Adat Orang Tempatan (atau NCR) tanah untuk mendaftarkan tuntutan harta tanah kami. Ini merupakan insentif yang sangat berpengaruh untuk kaum Iban dan Bidayuh mengundi BN. 

“Sudah tentu, kita tidak begitu pasti sama ada mereka benar-benar menjalankan tinjauan atau tidak? Namun syarikat-syarikat minyak sawit semakin hampir dengan rumah panjang dan kampung, justeru hak tanah harus diselesaikan. 

“Di penghujung hari, kami menjadi seperti Bumiputera kelas kedua. Kami baca apa yang Ibrahim Ali kata. Kami mungkin berdiam diri tetapi kami berbicara dalam hati: “Ini tidak sepatutnya berlaku!” Perkara seperti ini memusnahkan asas kepada masyarakat kami. 

“Pakatan belum cukup kuat untuk mencabar BN dan ramai dalam kalangan calon mereka tidak begitu mendapat kepercayaan walaupun saya menghormati peguam Baru Bian (beliau banyak berusaha untuk hak NCR) dan Datuk Daniel Tajem. Dua orang ini mempunyai integriti. 

“Pada masa ini, kami mempunyai ketua tetapi tiada pemimpin.”

No comments:

Post a Comment