Tuesday, September 21, 2010

Selamat tercampak ke laut




GEORGETOWN - Seorang lelaki tercampak ke laut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditumpanginya hilang kawalan dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang tengah malam semalam. 

Bagaimanapun dua lagi yang berada dalam kenderaan itu termasuk pemandu, Teh Por Yi, 17, dan isterinya, Khor Lee Mui, 17, maut. 

Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang, Deputi Superintendan Abdul Rahim Md Din berkata, mangsa Lee Chuan Hao, 17, tercampak ke laut selepas kenderaan yang dipandu rakannya, Por Yi, merempuh pengadang jalan di sebelah kiri laluan arah Perai menghala ke sini kira-kira jam 11.30 malam. 

“Kejadian berlaku di Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang apabila kenderaan MPV itu dipercayai mengubah laluan dari kiri jalan ke kanan dan ketika itu ia hilang kawalan. 

“Kenderaan itu terbabas ke kiri jalan, melanggar pengadang sebelum berpusing di tengah jalan dan merempuh penghadang jalan di sebelah kanan,” katanya. 

Ketika kejadian itu berlaku, kata Abdul Rahim, sebuah lori sayur dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar MPV berkenaan menyebabkan seorang penumpang iaitu Chuan Hao tercampak ke laut.

Menurutnya, selain pemandu, kenderaan itu turut membawa empat penumpang lain. Por Yi dan isterinya meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana mengalami kecederaan dalaman yang serius.

“Seorang lagi penumpang, Teh Bee Bee, 20 tahun yang duduk di sebelah kiri kerusi tengah penumpang, patah kaki kanan dan dirawat di HPP manakala Chiap Khee Wei, 17, yang duduk di sebelah kanan kerusi tengah penumpang kritikal dan di rawat di Unit Kecemasan (ICU) HPP.

“Chuan Hao yang tercampak ke laut diselamatkan oleh Pasukan Gerakan Marin pada jam 1.30 pagi dan mangsa masih dirawat di HPP manakala bedah siasat pada mangsa yang terbunuh dilakukan jam 9 pagi tadi (semalam),” katanya. 

Menurutnya, kejadian yang berlaku jam 11.30 malam itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. Pemandu lori sayur itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

No comments:

Post a Comment