KUALA KRAU 3 Okt. - Golongan muda di negeri ini diminta supaya tidak melatah dengan tindakan anggota Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang melakukan provokasi melampau berkaitan isu maritim dan penderaan pembantu rumah republik itu baru-baru ini.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimmi Samat berkata, tindakan membalas semula tunjuk perasaan dan provokasi itu bukan jalan penyelesaian malah akan mengeruhkan lagi hubungan antara dua negara yang telah lama terjalin.
Katanya, pertubuhan itu hanya disertai oleh kumpulan individu yang berfikiran tidak waras dan cuba mengeruhkan hubungan baik kedua-dua negara.
''Tindakan tersebut juga dikutuk dan dibenci oleh rakyat negara itu sendiri, malah mereka yang bekerja di sini mengutuk dan kesal dengan tindakan seumpama itu.
'' Kita jangan pula mencontohi budaya tunjuk perasaan itu kerana negara kita mengamalkan demokrasi serta rakyatnya berfikiran matang dan bertamadun," katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Pemuda UMNO Pahang di Rumpun Makmur Kuala Krau hari ini.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krau, Radzuan Zaaba.
Abu Jimmi berkata, hanya mereka yang kurang waras dan kurang memahami sejarah serta hilang pertimbangan sanggup melakukan perkara yang tidak membawa sebarang faedah kepada kedua-dua negara.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis menyeru mereka yang berusia 21 ke atas supaya mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
''Pemuda UMNO akan menjalankan pendaftaran pemilih di seluruh negeri dalam tempoh terdekat ini bagi mendaftarkan seberapa ramai mereka yang layak untuk mengundi,'' katanya.
Beliau meminta semua bahagian dan cawangan Pemuda UMNO di negeri ini proaktif mendaftarkan belia-belia terbabit dengan segera dan secara bersepadu.
No comments:
Post a Comment