KUALA LUMPUR 3 Okt. - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali hari ini berikrar melawan habis-habisan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan individu berselindung di sebalik pertubuhan itu kerana memperjuangkan perkauman sempit.
"Ikrar saya akan melawan Perkasa habis-habisan termasuk juga individu yang sedang 'tersungkur' di Australia," katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak di sini hari ini.
Azmin bagaimanapun tidak menyebut siapa yang dikatakan tersungkur di Australia itu.
Difahamkan, ia merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Hospital Epworth, Melbourne semalam bagi menerima rawatan akibat jangkitan kuman pada saluran pernafasan.
Dalam pemilihan hari ini, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin sebulat suara dipilih sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden parti.
Tambah Azmin, selagi Perkasa tetap memperjuangkan kepentingan perkauman sempit, maka selama itulah mereka akan dilawan oleh PKR.
Jelasnya, beliau sebagai seorang beragama Islam dan Melayu bertanggungjawab menjaga kepentingan semua kaum di negara ini, bukan setakat Melayu sahaja.
Dalam pada itu, Azmin juga membuat serangan terbuka terhadap lawannya dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden parti yang menggunakan media UMNO, Utusan Malaysia sebagai platform mengkritik pimpinan dan dasar PKR.
Walaupun tidak menyebut nama lawannya itu, tetapi difahami beliau merujuk kepada Datuk Zaid Ibrahim.
"Pemimpin ini masih setahun jagung dalam parti yang hanya masuk setelah PKR mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, berbanding saya yang setia kepada perjuangan reformasi sehingga tertubuhnya parti ini kira-kira 12 tahun lalu.
"Tidak perlulah secara tergesa-gesa ingin membuat akujanji kesetiaan kepada Presiden parti, saya telah bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) sejak 26 tahun lalu dan bekerja bersama Wan Azizah sejak 10 tahun lalu, tiada siapa boleh cabar saya," katanya.
Beliau mengakui sejak kemenangan besar itu, ramai pihak yang berminat menyertai PKR termasuk yang ingin merosakkan parti kerana tidak memahami agenda sebenar perjuangan parti ini.
"Cermin muka anda dahulu sebelum mengkritik dasar dan pimpinan parti termasuk Anwar, Wan Azizah dan bekas Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali. Siapa dan apakah kredibiliti anda berbanding semua tokoh ini?" katanya.
No comments:
Post a Comment