Monday, October 4, 2010

Pemandu kereta api ditahan

JAKARTA: Polis Indonesia menahan pemandu kereta api yang terbabit dalam kemalangan di Jawa Tengah menyebabkan 36 penumpang terbunuh dan puluhan lagi cedera.
Kereta api penumpang yang menuju Surabaya berlanggar dengan kereta api ke Semarang yang berhenti di stesen Petarukan Pemalang, di Jawa Tengah, kelmarin.
Mohammed Khalik Mustofa yang memandu kereta api menghala ke Surabaya ditahan kerana dituduh melakukan kecuaian hingga mengakibatkan 36 nyawa terkorban, kata peguam tertuduh, Tugiman.

“Pelanggan saya didakwa sebagai suspek oleh pihak polis. Kami akan menunggu perkembangan lanjut mengenai kes ini,” kata Tugiman.

Polis menyoal siasat sembilan saksi termasuklah ketua stesen kereta api Petarukan Pemalang dan kedua-dua pemandu kereta api terbabit, lapor laman berita Kompas.com.

Menurut polis, 36 penumpang terkorban, sementara, jurucakap operator rel kereta api nasional, Sugeng Priyono berkata, 36 lagi cedera dengan lima daripadanya parah.

“Kebanyakan mangsa yang dirawat di hospital mengalami kecederaan ringan. Semua mangsa akan diberi bayaran ganti rugi,” tambah Sugeng. - AFP

No comments:

Post a Comment