KUALA TERENGGANU 3 Okt. - Golongan saudara baru perlu terus didekati dan dibimbing agar mereka tidak berasa tersisih demi mengukuhkan pegangan mereka terhadap Islam.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Mazlan Hashim berkata, satu pendekatan yang sistematik perlu diambil bagi mengelakkan mereka kembali ke agama asal.
Beliau menekankan bahawa usaha itu turut menjadi tanggungjawab umat Islam yang lain dengan tidak menyisih atau menyebabkan mereka berasa didiskriminasi sehingga melihat Islam dengan persepsi yang salah.
"Umat Islam seharusnya membimbing, memandu dan memimpin mereka supaya akidah yang baru bertunas itu dapat bertapak kukuh dalam hati mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penutup Ujian Tilawah dan Hafazan al-Quran serta Pertandingan Azan Saudara Kita, di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ellias Zakaria yang dijemput sebagai penceramah khas dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu mendengar permohonan dua saudara baru untuk keluar daripada agama Islam.
Mazlan berkata, walaupun tanpa perangkaan rasmi berhubung murtad di kalangan saudara baru, ia tidak harus dipandang ringan kerana kesan buruk akan turut dihadapi oleh umat Islam secara keseluruhannya.
"Golongan ini perlu diberikan sokongan moral untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran hidup baru kerana Islam adalah agama sejagat berpaksikan keimanan dan ketakwaan dan tidak ada bangsa yang menjadi taraf kedua atau ketiga," katanya.
Jelasnya lagi, jika pihak berwajib terlepas pandang perkara itu akhirnya mereka akan bergaul dan bercampur sesama mereka sendiri menyebabkan hubungan dengan umat Islam lain terputus.
Sementara itu, dalam tilawah berkenaan, Mohamad Azlan Gan Abdullah (Marang) dan Hasmah Abdullah (Kuala Terengganu) muncul sebagai johan kategori lelaki dan wanita.
Mereka membawa pulang trofi, wang tunai serta menerima pakej menunaikan ibadah haji.
Sementara itu, Muhammad Faisal Sanya Abdullah (Kuala Terengganu) dan Murina Abdullah (Marang) menjuarai acara hafazan al-Quran dan menerima hadiah wang tunai serta trofi.
Bagi pertandingan azan, Hasan Salok (Hulu Terengganu) diumumkan sebagai pemenang kategori Orang Asli dan Mohd Ridhuan Junas (Kuala Terengganu) pula johan kategori bukan Orang Asli.
No comments:
Post a Comment