Monday, October 4, 2010

Azmin rujuk pemimpin 'tersungkur' itu Dr. M



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mengakui pemimpin yang dirujuk sebagai 'tersungkur' di Australia dalam satu ucapannya hari ini ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Malah, beliau dengan angkuhnya menyatakan, perkataan tersungkur itu langsung tidak kasar tetapi sebaliknya amat sesuai dirujuk kepada negarawan itu.
"Itu istilah yang agak lunak untuk kita dengar kerana kedegilan beliau bersekongkol dengan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) yang memperjuangkan fahaman perkauman sempit.
"Dr. Mahathir sepatutnya sebagai bekas pemimpin harus mengambil tanggungjawab lebih besar kerana negara ini boleh maju apabila fahaman sempit ini dibuang," katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Gombak di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berikrar akan melawan habis-habisan Perkasa dan individu berselindung di sebalik pertubuhan itu yang kini 'tersungkur' di Australia.
Sementara itu, ditanya adakah individu yang turut dikritik secara terbuka dalam ucapannya merujuk kepada Datuk Zaid Ibrahim, Azmin mengelak dengan menyatakan bahawa ia sekadar kenyataan umum.

No comments:

Post a Comment