KUALA SELANGOR 3 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor tidak mencalonkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau pun Naib Presiden, Azmin Ali untuk merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan peringkat pusat parti itu pada November ini.
Kedua-dua pemimpin itu sebaliknya dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden bersama dua lagi calon iaitu Mustafa Kamil Ayob (penyandang naib presiden) dan Suresh Kumar (Cabang Puchong) selepas diputuskan dalam mesyuarat agung cabang itu yang berlangsung selama dua setengah jam bermula pada pukul 2 petang ini.
Mesyuarat yang dihadiri 90 daripada 6,218 orang itu juga memutuskan mencalonkan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden dan presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.
Menurut Abdul Khalid, pada mulanya beliau dicalonkan sebagai Timbalan Presiden, tetapi selepas nama Wan Azizah turut dinamakan sebagai calon, beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri bagi memberi laluan kepada wanita itu.
Katanya, beliau juga mencadangkan agar Wan Azizah dicalonkan sebagai Presiden tetapi mesyuarat sebulat suara memilih Anwar.
"Bila terdapat pertandingan antara Wan Azizah dan saya untuk jawatan Timbalan Presiden, saya rasa beliau lebih pengalaman.
"Bagaimanapun keputusan itu tidak akan menyekat saya untuk bertanding jawatan tersebut.
"Apa pun keputusan sama ada bertanding atau tidak (untuk jawatan Timbalan Presiden) hanya akan saya putuskan pada 5 Oktober nanti," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat berakhir di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini petang ini.
Sementara itu, keputusan pemilihan bagi Cabang Kuala Selangor lewat malam ini menyaksikan Abdul Khalid masih mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang.
Abdul Khalid yang mendapat 722 undi mengalahkan dua pencabarnya iaitu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, Mazli Saring dan seorang anggota biasa yang juga bekas guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.
Ahli-ahli PKR Cabang Kuala Selangor turut memilih K. Tanarshu sebagai Timbalan Ketua Cabang, Lim Lai Seng sebagai Naib Ketua, Ketua Wanita, Mariana Abdullah dan M. Rajendran sebagai Ketua AMK.
Kemenangan Abdul Khalid ini sekali gus membuktikan kepimpinan beliau masih diperlukan di Kuala Selangor dan usaha-usaha untuk menamatkan kuasa politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu tidak berhasil.
No comments:
Post a Comment