Monday, October 4, 2010

Malaysia peroleh semula enjin jet yang hilang bulan ini: Ahmad Zahid




KUALA LUMPUR - Mahkamah Uruguay memutuskan bahawa dua buah enjin F-5E jenis GE J85 21-A yang kini berada dalam pegangan Kerajaan Uruguay adalah hak milik Kerajaan Malaysia.: 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menghubunginya tiga hari lalu, bagi memaklumkan keputusan mahkamah itu. 

“Kita akan menghantar pasukan terdiri daripada pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pejabat Peguam Negara ke Uruguay dalam bulan ini, bagi mengambil semula enjin berkenaan. 

“Jabatan Peguam Negara sedang berusaha menterjemahkan keputusan mahkamah terbabit dalam Bahasa Sepanyol ke Bahasa Inggeris bagi memastikan kandungan dan maksud sebenar tidak mengelirukan mana-mana pihak dan dijangka proses ini akan mengambil masa selama seminggu,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini, malam kelmarin. 

Ahmad Zahid berkata, proses pengurusan membawa pulang enjin berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara. 

Menurutnya, proses itu adalah perkembangan positif dalam pengurusan kes itu dan setiap langkah pastinya perlu mengambil kira kesan secara langsung ke atas proses pendakwaan yang sedang berjalan. 

Beliau berkata, proses memperoleh semula enjin berkenaan menunjukkan wujudnya hubungan baik antara kedua-dua kerajaan walaupun berlaku kes demikian. 

Ahmad Zahid berkata, kejayaan kes itu adalah kerjasama baik antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga selesainya kes berkenaan. 

Enjin terbabit dilaporkan hilang dari dua kemudahan TUDM pada 20 Disember 2007 dan 1 Januari 2008. 

Beliau menolak dakwaan bahawa kedua-dua enjin terbabit bernilai RM100 juta, sedangkan sebuah pesawat seumpama itu hanya bernilai RM2.45 juta. - Bernama

No comments:

Post a Comment