Monday, October 4, 2010

Ambil amah selain Indonesia



ROMPIN 3 Okt. - Kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dari negara Asia lain selain Indonesia bagi mengurangkan pergantungan terhadap amah dari republik itu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, antara negara yang dikenal pasti adalah Thailand, Kemboja, India, Sri Lanka, Filipina dan Burma.
"Kita akan mengadakan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan dan saya sendiri akan pergi ke negara berkenaan bagi melihat sendiri potensinya.
"Sebagai permulaan saya akan melawat Thailand dan Kemboja bagi melihat persefahaman yang boleh dibentuk ke arah itu," katanya selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Orang Ramai Muadzam Shah, di sini hari ini.
Menurut Maznah, selama ini Malaysia hanya memberi keutamaan terhadap pengambilan pembantu rumah dari Indonesia walaupun pada masa sama turut mengambil amah dari negara lain seperti Thailand dan Kemboja.
"Bagaimanapun, pembantu rumah dari Thailand dan Kemboja tidak popular seperti pembantu rumah Indonesia.
"Namun, kita terpaksa memilih negara alternatif kerana kebergantungan kepada satu-satu negara adakalanya akan menimbulkan kekangan dan masalah sekiranya berlaku sesuatu isu," jelasnya.
Mengenai isu pembantu rumah Indonesia, Maznah berkata, rundingan antara negara masih diteruskan.
"Semuanya masih dalam perbincangan dan tiada sebarang perkara diputuskan setakat ini. Oleh itu, pengambilan pembantu rumah dari republik itu masih dibekukan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment