Thursday, May 5, 2011

Mohon saman fitnah Anwar dibatalkan



KUALA LUMPUR 4 Mei – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan saman RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya atas dakwaan memfitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai kira-kira tiga tahun lalu sebagai tindakan yang remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Sehubungan itu Khairy yang diwakili peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan pada 21 Februari lalu supaya saman Ketua Pembangkang itu dibatalkan.
Permohonan itu juga dikemukakan oleh Khairy atas alasan dirinya mempunyai perlindungan bersyarat memandangkan beliau pada masa itu merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO yang memiliki tanggungjawab undang-undang, moral dan sosial kepada orang awam serta masyarakat Melayu.
Selain itu Khairy menyatakan, beliau berjaya menunjukkan kewajaran pembelaan kerana Anwar didapati bersalah atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar (bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) dan sabitan tersebut disahkan oleh Mahkamah Rayuan walaupun rayuan pemimpin pembangkang itu dibenarkan oleh majoriti hakim Mahkamah Persekutuan.
Pada prosiding hari ini di Mahkamah Tinggi di sini, Peguam Sarah Abishegam hadir bagi pihak peguam utama mewakili Anwar, Sulaiman Abdullah.
Sarah ketika ditemui pemberita memberitahu, Timbalan Pendaftar, Anisah Normah Muhammad Nor menetapkan 16 Jun depan bagi pengurusan kes untuk kedua-dua pihak mengemukakan afidavit berkaitan.
Anwar selaku plaintif memfailkan saman terhadap Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO pada 7 Mac 2008 kerana didakwa memfitnah beliau dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008.
Ekoran ceramah tersebut, plaintif mendakwa defendan telah mengucapkan dan menyebabkan penerbitan satu rakaman klip video dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com. yang menerbitkan sebuah artikel bertajuk Anwar and kin no threat yang didakwa mengandungi kata-kata fitnah.
Plaintif mendakwa kata-kata tersebut menyinggung dan merupakan fitnah dengan niat memperkecilkan dirinya sebagai bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri, menuntut ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi selain faedah lapan peratus serta kos.

No comments:

Post a Comment