KOTA TINGGI – “Saya kesal kerana ini adalah buat kali kedua cubaan untuk menukarkan suami (Cikgu Maarof) di atas dendam politik UMNO,” begitu yang diluahkan mantan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Normala Sudirman, atau lebih senang dipanggil Cikgu Mala, kelmarin.
Menurutnya, pertukaran suaminya itu tidak rasional dan mendakwa ia adalah tindakan Barisan Nasional (BN) yang sengaja memberi tekanan kepada mereka yang menyokong Pakatan Rakyat (PR).
Katanya, suaminya diberikan cuti sakit sehingga tempoh dua minggu berturut-turut disebabkan masalah kemurungan akibat arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam ke sebuah sekolah di Johor Bahru sebelum ini.
“Apa rasionalnya suami ditukarkan di sekolah Tanjung Pengelih di mana sekolah tempat suami mengajar (Segamat) berlakunya kekosongan guru.
“Malahan suami ditukar tanpa sebab yang rasional. Di dalam surat juga tidak disebut tentang penyalahgunaan cuti sakit.
“Tambahan spekulasi yang berlaku di mana pada 17 April media telah memaparkan isu suami saya akan ditukar sekolah. Namun, kami hanya menerima surat tersebut pada 19 April,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri ceramah Pas di sini, kelmarin.
Ceramah tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat merangkap Presiden Anak, Mazlan Aliman; Setiausaha Pengelola Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Johor, Zabidi Abas dan Penyelia Pusat Aduan Rakyat DUN Pasir Raja, Nazari Mokhtar.
Normala berkata, tindakan yang didakwa tidak adil itu diharap dapat diselesaikan oleh pihak Kementerian Pelajaran.
No comments:
Post a Comment