KOTA BHARU - Tujuh sekeluarga kini berada dalam keadaan terumbang-ambing kerana hanya menunggu masa untuk dihalau oleh pemilik rumah sewa yang didiaminya.
Alias Ismail, 49, bersama isterinya, Mahani Mamat, 41, dan empat anaknya termasuk ibu mertuanya, Munah Saman, 78, menyewa di sebuah rumah di Kampung Seribong sejak 20 tahun lalu dengan bayaran kira-kira RM100 sebulan dan tempat berteduh itu akan dirobohkan penghujung tahun ini.
Akibat kemiskinan hidup yang dialami oleh keluarga tersebut, Alias memberitahu sejak tiga tahun lalu dia gagal menjelaskan bayaran sewa bulanan rumahnya.
Lebih menyayat hati apabila ada ketikanya mereka tidak dapat makan kerana sudah kehabisan wang dan kadangkala terpaksa meminjam beras daripada adik saudara mara memandangkan seorang anaknya, Siti Norshafikah, 5, yang bisu serta Siti Norfazzilah, 23, demam panas akan memberontak jika tidak cukup makanan.
Alias berkata, kehidupannya lebih tertekan disebabkan dia tidak dapat melakukan kerja-kerja berat sejak mengidap buasir kira-kira 10 tahun lalu kerana ia mengeluarkan darah.
“Sekarang ini kami tidak dapat tidur lena kerana memikirkan tempat hendak berteduh selepas ini jika dihalau, lagipun sebelum ini pemilik rumah sudah memberi peluang untuk tinggal di sini dan dia masih boleh menerima kami walaupun sudah tiga tahun tidak membayar sewa.
“Saya tidak mampu untuk membayar sewa kerana pendapatan bulanan hanya RM400 hasil upah memotong rumput dan kadang kala menggergaji kayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Alias berkata, dia juga sedih kerana disebabkan kemiskinan hidup seorang anaknya, Mohd Shafarrdin, 22, terpaksa menyembunyikan berita gembira kejayaannya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.
“Saya sedih kerana saya mengetahuinya selepas tarikh akhir pendaftaran pengajian dan dia memberitahu terpaksa memendamkannya disebabkan kesusahan hidup kami,” katanya.
Sementara itu, Mahani berkata, dia terpaksa mengambil upah membersihkan rumah untuk menampung perbelanjaan keluarganya kerana kasihankan anak-anak dan juga suaminya.
Mahani berkata, kerana terpaksa dia menggunakan wang elaun bulanan ibunya yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk digunakan bagi perbelanjaan harian.
Mahani berharap ada pihak yang sudi membantu keluarnya untuk mendapatkan tempat berlindung selepas ini demi pendidikan anak-anak dan juga kehidupannya.
Sementara itu, sebagai kecaknaan pemimpin terhadap kesempitan hidup yang dihadapi keluarga terbabit, Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Mohd Fauzi Ismail turut melawat mereka dan menyampaikan sumbangan dan berusaha mendapatkan rumah untuk mereka.
No comments:
Post a Comment