Thursday, May 5, 2011

Pembunuhan Osama satu teori konspirasi



NEW YORK 4 Mei – Teori konspirasi mula tersebar sejurus selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan komando elit SEAL tentera lautnya telah membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di bandar Pakistan.
Malah sebilangan ahli keluarga mangsa serangan 11 September 2001 di sini pun berpendapat, kematiannya yang diumumkan oleh Presiden Barack Obama di White House menimbulkan pelbagai persoalan.
Tindakan AS mengebumikan jenazah Osama di Laut Arab dalam beg mayat yang dipasang pemberat serta keengganan pentadbiran AS setakat ini untuk menyiarkan gambar mayatnya menjadi sumber bagi ‘pakar’ teori konspirasi.
Menurut satu dakwaan yang hangat diperdebatkan, Osama sebenarnya ialah konco Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang sudah meninggal dunia bertahun-tahun lalu, dan kini menjadi tokoh khayalan yang digunakan untuk mewajarkan perang Amerika di Afghanistan.
Dakwaan itu disokong oleh aktivis antiperang AS, Cindy Sheehan dan mereka yang sangsi sepertinya dari Indiana hinggalah ke Kabul.
“Jika anda mempercayai kematian terbaru OBL (Osama), anda bodoh,” tulis Sheehan di laman Facebooknya.
Sheehan yang mendirikan kem antiperang di ladang Presiden George W. Bush di Texas pada 2005 mempertikaikan fakta-fakta yang dikeluarkan oleh kerajaan AS, termasuk bagaimana AS boleh mendapat keputusan DNA dengan begitu cepat, mengapa pengebumian dilakukan tergesa-gesa dan mengapa tidak ada video yang disiarkan.
Lagipun, kata wanita itu, bekas Perdana Menteri Pakistan yang mati dibunuh, Benazir Bhutto pernah mendakwa pada 2007, Osama sudah meninggal dunia.
Ramai yang berasa sangsi seperti Sheehan, malah laman Yahoo di Internet melaporkan, carian untuk ‘osama bin laden tidak mati’, ‘osama bin laden masih hidup’ melonjak kelmarin.
Di ‘Ground Zero’ di New York, sesetengah pengunjung melihat kematian Osama itu sebagai berita yang terlalu baik untuk dianggap benar.
“Saya berharap kita benar-benar membunuhnya, tetapi mereka menguburkannya di laut, siapa tahu apa yang sebenarnya berlaku?” kata pengurus projek, Sal Leto, 59. – Reuters

No comments:

Post a Comment