Negara miskin catat kelahiran tertinggi
NEW YORK: Bilangan penduduk dunia dijangka bertambah daripada hampir 6.9 bilion pada masa ini kepada 9.3 bilion menjelang 2050 dan 10.1 bilion pada 2100, kata pakar populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini semalam.
Ramalan berkenaan digunakan oleh PBB dan kebanyakan agensinya untuk program dana dan perancangan bagi masalah membabitkan perubahan iklim hingga kematian ketika kelahiran.
PBB dalam satu laporan mengenai aliran dunia yang disiarkan kelmarin berkata, bahawa populasi penduduk dijangka secara rasmi bertambah 6.9 bilion pada 1 Julai depan dan tujuh bilion pada 31 Oktober.Kebanyakan punca utama peningkatan itu dijangka membabitkan negara yang mencatat kadar kesuburan tertinggi di dunia terutama di sub Sahara Afrika.
Pengarah Bahagian Populasi PBB, Hania Zlotnik, berkata bahawa ramalan itu bergantung kepada peningkatan kadar kesuburan.
Katanya, penduduk di kebanyakan negara bertambah tua berikutan kemajuan perubatan yang membenarkan manusia untuk hidup lebih lama dan membolehkan keluarga memilih untuk mendapatkan lebih ramai anak.
“Dunia tidak lumpuh disebabkan pertambahan bilangan penduduk yang ramai, tetapi kebanyakan peningkatan itu membabitkan negara miskin.
“Jika mereka tidak mencapai tahap kesuburan yang rendah kami menjangkakan negara berkenaan mungkin menjadi punca masalah serius,” kata Zlotnick.
“Angka penduduk dunia seramai tujuh bilion memberi cabaran dan juga satu peluang,” kata pengarah eksekutif Dana Populasi PBB, Dr Babatunde Osotimehin yang menyokong penggunaan data populasi bagi program anti kemiskinan dan merangka dasar.
“Secara global, penduduk hidup lebih lama, semakin sihat dan memilih keluarga lebih kecil,” kata Osotomehim.
“Tetapi, membanteras kemiskinan dan mencari jalan untuk memastikan kesihatan penduduk hari ini, begitu juga generasi seterusnya akan memerlukan cara pemikiran baru dan kerjasama global berterusan.
“Apabila kita mencapai angka penduduk sebesar ini, adalah penting untuk memikirkan mengenai individu di dalamnya.
“Setiap satu akan mempunyai pilihan yang menentukan sama ada tujuh bilion menjadi sembilan bilion atau lebih 11 bilion menjelang 2050,” kata presiden kumpulan, Suzanne Ehlers. – AP , bharian
No comments:
Post a Comment