NEW YORK: Tindakan pantas anggota polis berjaya menghalang seorang wanita yang cuba membunuh diri dalam operasi menyelamat penuh dramatik di Manhattan, semalam.
Natalia Ramos, 25, dilaporkan tertekan dan kecewa apabila hilang pekerjaan.
Tidak cukup dengan itu, dia juga ditinggalkan kekasihnya.
Keadaan itu mendorong Natalia memanjat hingga ke bumbung sebuah apartmen empat tingkat dan cuba melompat dari situ.
Jurucakap polis berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu kira-kira jam 11 pagi.
Ketika tiba, katanya, Natalia dilihat menangis sambil mengancam untuk melompat.
“Polis meletakkan tilam keselamatan di bawah bangunan berkenaan,” katanya.
Saksi berkata, Natalia berdiri di tebing bumbung apartmen itu kira-kira 30 minit.
Difahamkan, Natalia memberitahu polis, dia kecewa kerana hidupnya tidak lagi bererti.
“Tolong beritahu kawan saya, Rachel, saya minta maaf. Beritahu ibu saya, saya minta maaf. Pesan kepada Rachel, tolong jaga kucing saya,” katanya.
Natalia juga meminta maaf kerana “membazirkan wang pembayar cukai.” Sejurus kemudian, kata sumber, Natalia duduk sambil mula bercakap sendirian dan menarik nafas dalam-dalam menandakan dia bersedia untuk melompat.
Sebaik saja dia menjatuhkan badannya, pegawai polis, Brian Glacken, berada di belakang dan sempat memaut dan bergelut menariknya ke tepi sambil disaksikan orang ramai di bawah.
Ketika Glacken masih bersusah-payah menahan berat badan Natalia, seorang lagi anggota polis, Madelyn McTague, tiba dan membantu menarik kedua-dua mereka ke tempat selamat.
Akhbar New York Post melaporkan, selain Madelyn dan Glacken, Natalia juga lega apabila drama itu berakhir.
Natalia kemudian meminta sebatang rokok sebaik saja dia berjaya diselamatkan. - DM
No comments:
Post a Comment