PASIR MAS 26 Jun - Akibat salah faham, seorang guru lelaki cedera di pipi kiri setelah ditumbuk oleh bapa seorang murid tahun empat, yang mendakwa guru terbabit telah menampar anak lelakinya dalam satu insiden Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, guru terbabit, Azidi Abdullah, 44, juga nyaris dicederakan dengan sebilah parang yang dibawa oleh isteri lelaki berkenaan.
Menurut mangsa, kejadian berlaku ketika dia baru sampai di sekolah rendah berkenaan, apabila tiba-tiba didatangi bapa murid terbabit yang sedang menunggu di pagar sekolah.
Dakwanya, lelaki tersebut bertindak menumbuk pipi kirinya sebanyak dua kali meskipun cuba ditenangkan.
"Tanpa sempat berbuat apa-apa, saya terus ditumbuk oleh bapa murid itu. Selepas kali pertama ditumbuk, saya meminta dia bertenang tetapi tidak dihiraukan apabila sekali lagi menumbuk bahagian pipi kiri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Berikutan kejadian itu, Azidi telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas di sini kira-kira pukul 10.15 pagi ini.
Mengulas tindakan pasangan itu, dia memberitahu, semuanya berpunca akibat salah faham kononnya dia telah menampar anak mereka sehingga murid terbabit cedera beberapa hari lalu.
"Murid terbabit terhantuk di meja dan luka pada Rabu lalu. Ketika bertanyakan hal itu kepada murid terbabit, dia terus menangis dan saya memujuk dengan menyentuh pipinya, bukan menampar," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.Utusan Malaysia Online - Jenayah
No comments:
Post a Comment