Monday, June 27, 2011

Lapan beranak terpaksa ikat perut



SANTAN – Seorang wanita bersama tujuh anak dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Santan II di sini, terpaksa ikat perut kerana hilang punca pendapatan selepas ditinggalkan suami sejak enam bulan lalu.

Wanita malang itu, Hasmiza Hamdan, 32, berkata, suaminya yang berasal dari Perak itu kadangkala akan bekerja di luar negeri selama beberapa minggu bagaimanapun, dia akan pulang semula ke rumah.

Namun, kini suaminya yang keluar meninggalkannya bersama tujuh anak berusia antara sebulan hingga 15 tahun itu langsung tidak pulang dan tidak diketahui lokasi sebenar dia berada.

“Suami selalu tinggalkan kami dan keluar bekerja hingga ke Kedah dan Pulau Pinang tetapi dalam tempoh beberapa minggu saja dan akan balik selepas itu. Tetapi, kali ini dia sudah menghilangkan diri sejak Januari lalu.

“Sejak suami tiada, kami tiada pendapatan kerana saya tidak bekerja. Malah, makan minum dan perbelanjaan sekolah anak juga mendapat ihsan ahli keluarga dan adik-beradik saya yang terdekat,” katanya ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Sabry Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.

Hadir sama, Pengerusi KRT Taman Santan II, Shamsudin Mohamad.

Hasmiza berkata, dia berjaya bercakap dengan suami beberapa kali melalui telefon bimbit. Melalui perbualan, dia menceritakan kepada suami tentang masalah yang dihadapi sepanjang ketiadaannya.

“Namun, suami hanya mendiamkan diri dan tidak pula memberitahu di mana dia berada malah, tidak berjanji untuk balik ke sini,” katanya ketika

Sabry selepas pertemuan itu berkata, pihaknya akan memberi bantuan peralatan seperti kereta sorong bagi membolehkan Hasniza berniaga minuman dan makanan secara kecil-kecilan di hadapan rumah.

“Kita akan memikirkan bantuan terbaik untuk Hasniza namun, setakat ini kita lihat bantuan peralatan untuk berniaga di hadapan rumah seperti kereta sorong dan sebagainya bersesuaian.

“Selain itu, kita akan daftarkan Hasniza di bawah program e-kasih bagi membolehkan di mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.

Sebelum itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis hadir ke rumah Hasniza menyampaikan barangan makanan dan membuat siasatan tentang masalah yang dihadapi Hasniza.
SH

No comments:

Post a Comment