SEPANG - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menerima ugutan bunuh melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tengah malam kelmarin yang ditujukan kepada ahli Pemuda UMNO yang akan menyertai perhimpunan 9 Julai ini.
SMS itu yang diterima pada pukul 12.18 tengah malam dari nombor yang tidak dikenali pemiliknya turut mengandungi kata-kata kesat.
Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam, Khairy berkata, laporan polis mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh setiausaha pergerakan itu, Datuk Megat Firdouz Megat Junid yang turut menerima SMS serupa dari nombor yang sama.
"Saya nampak perkara ini amat bahaya sekali dan mengancam keselamatan dan seolah-olah memberi satu ancaman terhadap mana-mana ahli Pemuda UMNO yang ingin turun pada 9 Julai.
"Saya harap polis boleh mengambil tindakan sebab ini adalah perkara yang serius," tegasnya.Kosmo! Online - Negara
No comments:
Post a Comment