Monday, June 27, 2011

ISA jika gugat keselamatan

KDN tak kompromi terhadap penganjur perhimpunan 9 Julai

HULU SELANGOR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan haram 9 Julai ini sekiranya tindakan mereka didapati menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya tidak memilih bulu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengadakan perhimpunan haram itu.
“Saya tidak memilih bulu... PERKASA atau Pemuda UMNO hendak mengadakan perhimpunan juga kita tidak beri permit dan kita akan memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika melanggar peraturan.

“Jika ada huru-hara, saya (sebagai Menteri Dalam Negeri) bertanggungjawab untuk memastikan bahawa tindakan yang sesuai diambil mengikut undang-undang untuk mengawal keadaan. ISA tidak perlu (digunakan buat masa sekarang) tetapi boleh digunakan (jika keadaan memaksa).

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, undang-undang lain boleh digunakan. Kita belum sampai ke tahap itu (guna ISA)... kami akan terus memantau situasi ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Hulu Se langor. Hadir sama pada majlis itu Ketua UMNO bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar.
Hishammuddin menjelaskan sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat mengikut ISA terhadap penganjur perhimpunan haram itu.

Ditanya kemungkinan pasukan tentera turut digunakan untuk mengawal keselamatan pada 9 Julai ini, beliau tidak menolak kemungkinan itu jika keadaan tidak dapat dikawal.

Mengulas dakwaan pembangkang bahawa beliau mengarahkan supaya polis menahan pihak yang ingin mengadakan jelajah perhimpunan haram itu, Hishammuddin menafikannya selain mendakwa beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, katanya, semua mereka yang ditahan setakat ini adalah mengikut undang-undang yang tersedia, bukan semata-mata kerana mengadakan jelajah mengenai perhimpunan itu tetapi ada elemen lain.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, kita tidak boleh biarkan perkara yang boleh menjejaskan negara dieksploitasi oleh pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, polis menahan lapan individu semalam kerana mempromosikan perhimpunan haram di Taman Kosas yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Difahamkan, lapan individu terbabit termasuk ahli Dewan Pemuda PAS kawasan Ampang ditahan kira-kira jam 11 pagi kerana turut berhimpun tanpa permit polis selain mengganggu laluan trafik.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk direkodkan keterangan sebelum dibebaskan.
Berita Harian Online | ISA jika gugat keselamatan

No comments:

Post a Comment