Monday, June 27, 2011

'Jangan tunggu terlalu lama hingga diri menderita'

KUALA LUMPUR: Pengabaian tanggungjawab sama ada daripada segi nafkah zahir mahupun batin seorang suami terhadap isteri dan keluarganya menyebabkan isteri itu dianiaya dan ditindas haknya.

Naib Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata sebuah keluarga bahagia memerlukan seorang suami yang bertindak sebagai pemimpin tetapi jika berlaku sebaliknya wanita bergelar isteri perlu segera berbuat sesuatu supaya masalah tidak berpanjangan.


“Tujuan sebuah perkahwinan adalah untuk memenuhi keperluan dan kehendak pasangan suami isteri dan sekiranya isteri berasa terabai, dia perlu mendapatkan pembelaan daripada pihak perundangan sepatutnya secepat mungkin.

“Jangan tunggu terlalu lama sehingga diri sendiri menderita walaupun hal itu dikatakan berpunca daripada pihak ketiga atau perbuatan sihir,” katanya.


Beliau berkata, terdapat ramai wanita yang mempunyai masalah seperti ini iaitu mereka tidak mendapat penghormatan selayaknya daripada suami dan berasa terseksa di kemudian hari.


Namun, jika timbulnya masalah dalam rumah tangga seperti kurang komunikasi dan hubungan semakin renggang di antara suami isteri yang disedari sejak awal, isteri perlu turut memainkan peranan mencari punca masalah berkenaan.

Ini kerana, rumah tangga adalah tempat berteduh yang menjanjikan sejuta kedamaian dan kasih sayang harmonis dalam institusi kekeluargaan.

“Isteri tidak boleh menyalahkan pihak ketiga atau perbuatan sihir semata-mata jika berlakunya masalah pengabaian tanggungjawab seperti ini.

“Sekiranya suami benar-benar terkena sihir dan isteri sudah berikhtiar menemui pengamal perubatan tradisional atau sebagainya bagi mengubati suami, mungkin isteri boleh memperbaiki kelemahan dirinya sendiri kerana berkemungkinan kita tidak tahu kesilapan yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

myMetro | 'Jangan tunggu terlalu lama hingga diri menderita'

No comments:

Post a Comment