Gejala semakin berleluasa babitkan remaja seawal umur 14 tahun
KUALA LUMPUR: Kesukaran melakukan tugasan mudah seperti tidak mampu mengikat tali kasut dan memakai sendiri pakaian, gagal dalam pelajaran terutama subjek mengira, seakan-akan mengelamun, percakapan kurang jelas dan keupayaan mendengar terhad adalah antara kesan negatif akibat ketagihan menghidu gam.Lebih parah lagi, ketagihan menghidu gam juga akan mengehadkan pergerakan fizikal, melemahkan daya pemikiran, membantutkan kebolehan berkomunikasi, menjejaskan pembelajaran serta boleh membawa maut kepada penagihnya.
Sehubungan itu, Pengarah Klinik Cure & Care 1Malaysia Sungai Besi, Hadijah Baba, berkata ketagihan menghidu gam perlu dibendung kerana ia memberi pelbagai kesan amat buruk kepada remaja.
“Amalan menagih gam ini juga menyebabkan kebanyakan penagihnya terjebak dalam gejala sosial lebih serius antaranya menghisap dadah, melakukan seks bebas dan membuat jenayah,” katanya pada sidang media Rawatan dan Pemulihan Penagihan Ubat Sedut (Inhalen) di Klinik Cure & Care, di sini.
Beliau berkata, antara punca menyebabkan gejala itu berleluasa dan berada pada tahap membimbangkan di kalangan remaja seawal usia 14 tahun di negara ini kerana ia mudah diperoleh, harga murah dan mampu memberi kesan khayal dalam tempoh kurang 15 saat disamping tiada akta khas.
Katanya, ini terbukti apabila 54 kes remaja ketagihan menghidu gam didaftarkan di pusat pemulihan itu dalam tempoh hanya empat bulan bermula Februari lalu.
Hadijah berkata, dalam usaha menangani tabiat menghidu gam, semua pihak seperti ibu bapa, sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama.
Beliau turut menasihatkan individu terbabit gejala menghidu gam datang secara sukarela ke cawangan Cure & Care 1Malaysia bagi merawat dan memulihkan tabiat buruk itu.
Mereka boleh menghubungi Cure & Care 1Malaysia berdekatan sama ada di Sungai Besi, Kuala Lumpur melalui talian 03-90562997, Johor Bahru, Johor (07-2361711), Kota Bharu, Kelantan (09-7717350), Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (04-5394835), Papar, Sabah (088-912893) dan Kuching, Sarawak (082-612785). Berita Harian Online | Ketagih hidu gam boleh maut
No comments:
Post a Comment