Monday, June 27, 2011

Dakwa SPR pernah tipu rakyat



IPOH - Pemuda Pas Pusat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah menipu rakyat negara ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) 12 lalu khususnya berhubung pembelian dakwat kekal yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM3 juta.

Naib Ketuanya, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pembelian berkenaan hanya sia-sia apabila dakwat berkenaan tidak digunakan pada PRU 12 berikutan pelbagai alasan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) serta SPR khususnya apabila mengatakan kabinet tidak bersetuju dengan penggunaan dakwat itu.

Selain itu, menurut Raja Ahmad, SPR juga telah diberi kuasa untuk tidak meneruskan penggunaannya walaupun setelah pembeliannya dilaksanakan.

“Jika disingkap kembali isu pembelian dakwat kekal oleh SPR pada 2008 lalu yang difahamkan akan digunakan pada PRU 12, jelas bahawa SPR pernah menipu rakyat.

“Oleh itu, adakah dengan membatalkan perhimpunan Bersih pada 9 Julai depan dapat menjamin tiada penipuan akan berlaku lagi?

“Adakah janji SPR ini boleh diterima rakyat kerana berdasarkan rekod sedia ada, SPR pernah menipu dan membazirkan wang rakyat?,” katanya.

Sementara itu, Raja Ahmad berkata, pihaknya begitu ragu dengan keikhlasan SPR kerana jelas mereka hanya ingin memastikan BN terus berkuasa di negara ini walaupun dengan cara kotor.

Katanya,perkara berkenaan jelas telah berlaku di Perak hingga telah mencalarkan amalan demokrasi di Malaysia.
SH

No comments:

Post a Comment