Friday, July 8, 2011

91 dilarang masuk KL Sabtu ini

KUALA LUMPUR 7 Julai - Polis mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk melarang seramai 91 individu termasuk Datuk S. Ambiga, Datuk Ibrahim Ali dan Khairy Jamaluddin berada di beberapa kawasan di ibu negara pada Sabtu ini.

Selain tiga pemimpin mewakili tiga kumpulan yang akan menganjurkan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), pemimpin-pemimpin pembangkang turut tersenarai dalam perintah larangan itu.

Antaranya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah yang menamakan sebahagian besar daripada lokasi-lokasi utama di ibu negara.

Beliau berkata, sekiranya kesemua penama itu ingkar dan berada di kawasan terbabit, polis akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

"Kita juga tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas termasuk menangkap mereka serta-merta sekiranya setiap penama ingkar dengan perintah larangan.

"Perintah larangan ini adalah untuk mengelakkan daripada perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa dan keselamatan manusia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Amar Singh, arahan itu diberikan oleh Majistret Mohd. Azali Ibrahim semalam selepas pihaknya membuat permohonan.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan perincian perintah larangan semua 91 penama itu melalui alamat yang diberikan bermula hari ini.

"Dengan penyerahan perintah larangan itu, kita berharap agar kesemua mereka tidak menghadirkan diri, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam perhimpunan ini di tempat terbabit," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan antara lokasi yang dilarang adalah Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Masjid Negara, Dataran DBKL, Perkarangan Sogo, Maju Junction dan Masjid Kampung Baru.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment