Friday, July 8, 2011

Polis benarkan jika perhimpunan esok di luar Kuala Lumpur: Hishammuddin


KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata polis akan memberi permit kepada mereka yang menganjurkan perhimpunan di luar Kuala Lumpur esok.

"Kelulusan boleh diperoleh segera," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Hishammuddin berkata polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang masih berdegil untuk menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur esok.

Beliau berkata polis telah bertindak adil dalam membuat keputusan, dan telah juga menolak permohonan daripada Pemuda Umno dan Perkasa untuk mengadakan perhimpunan esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman pula berkata permohonan mendapat permit perhimpunan di sini esok tidak diluluskan.

"Saya selaku Ketua Polis Daerah Dang Wangi tidak meluluskan permohonan tersebut setelah penelitian atas dasar keselamatan awam," katanya kepada pemberita petang ini.

Beliau berkata permit itu dipohon pagi tadi oleh seorang wanita yang menggunakan gelaran Pegawai Program Kesedaran Komuniti Selangor.

Mohamad Zulkarnain berkata dalam permohonan itu, wanita berkenaan mengatakan kira-kira 100,000 orang akan hadir ke perhimpunan itu.

Justeru itu, katanya, jika perhimpunan tersebut diteruskan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

"Bagaimanapun pihak penganjur masih boleh membuat rayuan dalam tempoh 24 jam dari waktu permohonan ditolak (hari ini) kepada Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh secara bertulis," katanya.

Hishammuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Bagi mengatasi kebimbangan masyarakat, polis menyediakan hotline iaitu di nombor talian 03-21460524 atau 03-21460525 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut," katanya.

Ditanya mengenai sama ada perhimpunan haram yang dirancang esok dibatalkan, Hishammuddin berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat.

"Oleh sebab itu saya ssekali lagi menawarkan untuk pihak berkenaan mengadakannya di luar KL, Jika terima tawaran, tidaklah perlu rakyat dan polis bersusah payah memikirkan kebimbingan apa yang berlaku esok," katanya.

"Mengenai sama ada Angkatan Tentera Malaysia akan membantu menghadapi perhimpunan haram itu, katanya pihak polis masih boleh mengawal keadaan dan tidak ada keperluan penglibatan pihak lain.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan semasa," katanya.- Bernama

SH

No comments:

Post a Comment