PETALING JAYA 7 Julai - Seorang pengurus pusat kecergasan dan bina badan tidak menyangka bungkusan plastik panjang berwarna kuning yang diletakkan di tangga tingkat satu sebuah rumah kedai di PJS 3/36 Taman Sri Manja di sini semalam berisi empat laras senapang tiruan buatan sendiri.
Kejadian itu disedari pengurus terbabit kira-kira pukul 4 petang. Dia pada mulanya menyangka bungkusan itu milik sebuah kedai jahit di tingkat berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, bagaimanapun, curiga dengan penemuan bungkusan itu, pengurus terbabit segera melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, polis mendapati empat laras senapang tiruan buatan sendiri dibungkus dalam plastik itu.
"Polis masih menyiasat tujuan dan dari mana senjata itu diperoleh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.
Arjunaidi bagaimanapun enggan mengulas sama ada senjata itu digunakan untuk perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment