Dr Abdul Qadeer Khan mendedahkan dokumen-dokumen yang beliau katakan menyokong dakwaannya bahawa beliau telah memindahkan pembayaran lebih AS$3 juta ($3.7 juta) oleh Korea Utara kepada para pegawai kanan tentera Pakistan, kata akhbar itu dalam laman webnya.
Dr Khan berkata tentera Pakistan kemudian mengizinkan beliau berkongsi pengetahuan teknologi dan peralatannya dengan para saintis Korea Utara.
Dr Khan juga mendedahkan apa yang beliau katakan sebagai satu salinan surat pegawai Korea Utara pada 1998 yang dikirimkan kepada beliau, yang ditulis dalam bahasa Inggeris, yang bermaksud menjelaskan perjanjian sulit itu, kata akhbar tersebut.
Sesetengah pegawai risikan Barat dan pakar-pakar lain pernah berkata bahawa mereka berpendapat surat itu adalah tulen.
Para pegawai Pakistan pula telah menyifatkan surat berkenaan palsu.
Dr Khan, yang pernah dipuji sebagai wira kebangsaan negaranya, sedang bertelagah dengan sebahagian besar pegawai Pakistan, yang berkata beliau bertindak sendirian dalam menjual rahsia-rahsia nuklear itu.
The Post berkata dakwaan Dr Khan dan butir-butir dalam surat itu, bagaimanapun, tidak dapat disahkan.
Surat Dr Khan itu bertarikah 15 Julai 1998 dan ditandakan sebagai 'rahsia', kata akhbar itu lagi.
'Wang tiga juta dolar itu telah pun dibayar' kepada salah seorang pegawai tentera Pakistan dan 'setengah juta dolar' dan beberapa barang kemas telah diberikan kepada seorang pegawai kedua, kata surat itu.
Surat tersebut mengandungi tanda tangan Setiausaha Parti Pekerja Korea Utara, Encik Jon Byong Ho.
Teksnya juga mengandungi kekata: 'Tolong berikan dokumen yang telah dipersetujui, alat-alat, dan sebagainya, kepada seorang ... (pegawai kedutaan Korea Utara di Pakistan) untuk dibawa pulang apabila pesawat kami pulang selepas mengirimkan komponen-komponen misil.'
Jeneral (Bersara) Jehangir Karamat, bekas ketua tentera Pakistan yang dinamakan sebagai penerima wang AS$3 juta itu, dalam e-melnya kepada akhbar berkenaan berkata surat itu tidak benar dan cuba 'mengalihkan kesalahannya kepada orang lain'.
Seorang lagi pegawai, Leftenan Jeneral (Bersara) Zulfiqar Khan, menyifatkan surat Dr Khan itu sebagai 'sesuatu yang diada-adakan'.
Surat berkenaan diserahkan kepada The Post oleh seorang bekas wartawan Britain, Encik Simon Henderson, yang menurutnya, didapati secara langsung daripada Dr Khan. -- AP.
Cyberita Online Luar Negara
No comments:
Post a Comment