Friday, July 8, 2011

Ambiga tetap berdegil – KPN

KUALA LUMPUR 7 Julai – Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga tetap berdegil mahu mengadakan perhimpunan haram di Stadium Merdeka pada Sabtu ini, meskipun dinasihatkan agar membatalkan hasrat tersebut oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam pertemuan hari ini.

Ismail berkata, beliau telah memanggil Ambiga menemuinya di Bukit Aman pada pukul 2 petang ini untuk berbincang lebih lanjut selain menerangkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi demi menjamin ketenteraman awam.

Beliau berkata, antara perkara dimaklumkan dalam perjumpaan tersebut adalah Bersih harus memohon kebenaran daripada pemilik premis jika mahu polis meluluskan permit perhimpunan berkenaan.

Katanya, beliau juga mengesyorkan kepada Ambiga supaya mengadakan perhimpunan itu di luar Kuala Lumpur kerana kedudukan Stadium Merdeka yang sempit, sedang diubah suai dan terletak di tengah ibu kota boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas sehingga mengganggu peniaga dan orang ramai.

“Saya mengesyorkan kepada Ambiga untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Melawati, Selangor kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah membuat tawaran membenarkan perhimpunan diadakan di situ.

“Namun, saya nampak Ambiga masih berdegil. Cadangan saya (minta buat perhimpunan di Stadium Melawati) adalah untuk membantu beliau, tetapi nampaknya dia berdegil. Beliau tidak mahu ubah fikiran dan pendirian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Ismail berkata, Ambiga berkeras mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka dengan alasan ia tempat yang selesa.

Menurutnya, beliau bagaimanapun menasihatkan Ambiga supaya mempertimbangkan peluang keemasan yang diberikan oleh kerajaan (membenarkan perhimpunan) dengan memilih mana-mana stadium lain yang terletak di luar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, langkah kerajaan untuk memberi ruang mengadakan perhimpunan di stadium dan bukan di jalanan dibuat demi mengurangkan gangguan kepada kehidupan harian rakyat dan menjaga ketenteraman awam.

“Kegiatan ekonomi juga tidak akan terjejas. Kita juga ingin mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis tidak akan meluluskan permit perhimpunan kepada Ambiga jika permohonan dibuat menggunakan nama Bersih.

“Kalau mohon permit di atas nama Bersih, polis akan tolak kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah mengisytiharkan Bersih sebagai sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, permit boleh dibuat oleh setiausaha kepada pertubuhan yang berdaftar atau tiga individu dengan mengemukakan tiga permohonan.

Setakat ini, kata Ismail, polis belum menerima permohonan daripada mana-mana pihak termasuk Bersih dan mereka yang terlibat dinasihatkan membuat permohonan segera kerana hanya mempunyai tempoh kurang 48 jam sehingga Sabtu ini.

“Dalam kes Bersih yang melibatkan isu nasional, polis masih boleh berbincang dan bertolak-ansur tetapi jangan sampai ada pihak yang mengambil kesempatan.

“Kita tiada tarikh akhir untuk memohon permit tetapi kelulusannya adalah bergantung kepada undang-undang dan yang membuat keputusan ialah ketua polis daerah yang akan mempertimbang secara profesional bergantung kepada keadaan keselamatan,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment