Friday, July 8, 2011

Sosilawati tidak balik tiga hari



Habishah Bahari (kanan) ditemani Junaidah Ismail sewaktu hadir memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 7 Julai - ''Shah, Kak Wati tak balik tiga hari pergi Genting.''

Itulah kata-kata terakhir jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya kepada Habishah Bahari, 47, semasa menghubungi kawan baiknya itu buat kali ketiga pada malam dia dikatakan dibunuh bersama pemandu, peguam serta penasihat kewangannya.

Habishah yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, dia berasa risau selepas talian terputus begitu sahaja kerana Sosilawati hanya membahasakan dirinya sebagai Kak Wati apabila susah hati.

Dalam keadaan biasa, jelas saksi pendakwaan ke-16 itu, rakannya itu membahasakan dirinya sebagai aku.

''Saya jadi risau, berdebar-debar dan tidak sedap hati sebab dia bahasakan dirinya Kak Wati dengan nada yang lembut,'' katanya tersekat-sekat semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani.

Habishah dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan terus menangis tanpa sempat menghabiskan jawapan sebelum mahkamah berhenti rehat bagi memberi masa untuk saksi itu menenangkan diri.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Terdahulu, kata Habishah, dia menerima panggilan pertama Sosilawati semasa sedang berbuka puasa di rumah seorang kawan pada pukul 7.30 malam, 30 Ogos 2010.

Beliau turut mendengar suara ramai orang sedang bercakap-cakap seolah-olah panggilan rakannya itu dibuat di kedai makan.

''Sosilawati kata, 'Wei, aku tak percaya Kamal (Kamaruddin) masuk bilik aku, Dia ambil gambar bogel aku, Kau pergi rumah aku, kau masuk ke dalam bilik air, kau check ada kamera tersorok tak'. Kemudian talian terus terputus.

''Saya hairan sebab kenapa ayat yang diguna, 'Kamal ambil gambar bogel aku' sebab tidak ada apa-apa petanda Kamal boleh berbuat demikian. Lagipun selama tiga tahun kenal Kamal, dia seorang yang jujur, baik hati, ikhlas, lembut, setia dan patuh pada arahan,'' jelasnya.

Berikutan itu, jelas Habishah, dia cuba menghubungi semula Sosilawati sebanyak lima kali tetapi panggilan itu tidak dijawab walaupun kedengaran nada dering.

Selepas lima hingga 10 minit kemudian, katanya, Sosilawati menghubunginya semula dengan menggunakan talian yang sama.

''Kali kedua dia call, saya tanya, Kak Wati, kau cakap apa aku tak faham. Dia kata tak apa, kau pergi dulu kat rumah aku, check kat bilik aku. Nanti balik aku cerita. Selepas itu dia terus letak telefon.

''Panggilan kali ketiga dan terakhir saya terima selepas saya solat Maghrib pada malam sama,'' katanya.

Menurut Habishah, dia hanya pergi ke rumah Sosilawati dan berjumpa anak-anak kawan baiknya itu sebaik sahaja selesai urusan di kedai jahitnya di Plaza Idaman Gombak pada pukul 11 malam.

Dia memberitahu anak-anak Sosilawati tentang apa yang diberitahu oleh ibu mereka serta menyuruh memeriksa bilik dan bilik air tetapi tiada sebarang kamera tersorok dijumpai.

Kata Habishah, dia pulang ke rumah dua jam kemudian dan menerima panggilan telefon daripada anak lelaki Sosilawati mengatakan akan ke Shah Alam bersama kakaknya, Erni Dekritawati Yuliana untuk mencari kereta Noorhisham.

Ditanya tentang peristiwa sebelum itu, kata saksi, dia diminta menemankan Sosilawati ke Banting pada 30 Ogos 2010 untuk berjumpa dengan peguam Pathma bagi menukar dan mendapatkan cek bertarikh sebelum hari raya.

''Saya tidak temankan dia sebab masa itu saya sibuk. Saya tunggu dia call tetapi dia tidak call. Jadi saya ingat mungkin saya tidak perlu pergi.

''Pukul 5 petang saya call, Sosilawati kata dia dalam perjalanan ke Banting dan ada tunggu tetapi saya tidak datang. Jadi dia pergi dulu sebab nak cepat,'' katanya.

Menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan, Habishah mengakui menyuruh anak-anak Sosilawati membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga walaupun menganggap dakwaan terhadap Kamal tidak berasas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari keempat bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment