Friday, July 8, 2011

‘Tiga klinik tiada doktor’

Mangsa mati ketika ke HTJS

REMBAU: “Saya berlari mendukung Izzah yang tidak sedarkan diri masuk ke tiga klinik, namun, hampa kerana semua doktor tiada untuk memberi bantuan kecemasan,” kata Haliza Talib, 44, ibu kanak-kanak yang mati lemas di dalam kereta, Izzah Athirah Mohd Khir, 10, di Sekolah Rendah Islam ABIM di sini, kelmarin.

Menceritakan kembali kejadian itu, Haliza ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Yayasan Sofa di sini, semalam, berkata dia terkejut apabila menemui anaknya tidak sedarkan diri, tertiarap dengan mulutnya berbuih di dalam kereta PERODUA Alza miliknya jam 2 petang.

Dia kemudian menahan sebuah kenderaan untuk membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), namun pemandu itu tersesat.
“Bagaimanapun, kami menemui sebuah poliklinik rakyat dan saya segera mendukung Izzah masuk sebelum diberitahu doktor tiada. Saya gagahkan diri mendukungnya ke dua klinik berhampiran, namun nasib kami tetap sama.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya cuba menahan kenderaan lain untuk membawa kami ke HTJS tetapi gagal. Akhirnya, staf di poliklinik rakyat menawarkan diri menunjukkan jalan kepada pemandu van yang ditumpangi sebelumnya,” katanya.

Dalam perjalanan ke HTJS, Haliza beberapa kali cuba memberi bantuan pernafasan namun tiada tindak balas dan dia mengakui takut untuk memeriksa nadi anaknya kerana tidak bersedia menerima hakikat jika Izzah Athirah sudah tiada.

Bagaimanapun, doktor di HTJS mengesahkan mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke situ.
Dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, Izzah Athirah yang juga pelajar Tahun Empat Sekolah Rendah Islam ABIM lemas terperangkap dalam kenderaan itu selama enam jam setengah.

Ditanya apa sebenarnya berlaku sebelum kejadian itu, Haliza berkata, anaknya enggan keluar dari kereta ketika mereka tiba di sekolah jam 7.30 pagi kerana kehilangan kasut sekolahnya.

“Disebabkan sudah lambat, saya beri kunci kepada adiknya (Nur Izzah Adila, 8) sambil berpesan supaya dia mengunci pintu selepas kakaknya (mangsa) keluar.

“Jam 9.20 pagi, saya melihat kunci kereta ada di atas meja dan beranggapan kedua-dua mereka sudah masuk ke kelas,” katanya yang kemudian diberitahu Adila tidak mengunci kereta kerana kakaknya enggan keluar.
Berita Harian Online | ‘Tiga klinik tiada doktor’

No comments:

Post a Comment