Friday, July 8, 2011

Indonesia mahu perangi rasuah di sektor sumber, cukai

JAKARTA: Indonesia merancang membanteras amalan rasuah dalam sektor sumber dan pungutan cukai bagi meningkatkan kecekapan jentera pentadbiran negara dan mendapatkan semula dana yang sepatutnya menjadi milik tabung negara.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Membanteras Rasuah (KPK), Encik Haryono Umar, berkata pihaknya mencapai beberapa kejayaan dengan mendakwa sejumlah pegawai tinggi - termasuk hakim dan pakar perbankanm - memenjarakan golongan 'tamak', selain menaikkan gaji pekerja bagi mengurangkan amalan rasuah kecil-kecilan.

'Kami bagaimanapun, tidak dapat menangkap semua kakitangan jabatan terbabit kerana ia menyebabkan jentera pentadbiran negara yang sedia ada musnah,' katanya.

Encik Umar berkata, KPK akan memulakan siasatan rasuah dalam sektor sumber, termasuk minyak dan perhutanan yang sepatutnya menjana pendapatan besar negara.

Indonesia berjaya menangani krisis kewangan global dan semakin mendapat perhatian pelabur yang mahu memperoleh faedah daripada negara yang kaya dengan sumber komoditi itu, namun amalan rasuah terus menjadi penghalang utama.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dipilih semula berikutan janjinya membanteras rasuah, namun kejayaan dicapai dilihat terlalu perlahan, sekali gus mengancam populariti beliau dan pelaburan asing.

Encik Umar, yang pernah berkhidmat sebagai juruaudit negara, berkata antara kerugian paling besar dihadapi Indonesia ialah dalam sektor percukaian.

'Pegawai percukaian tidak melakukan apa-apa dalam tempoh 10 tahun,' katanya sambil menarik perhatian, tahun depan, negara itu dijangka kerugian AS$1 bilion ($1.2 bilion) cukai korporat yang belum terbayar, berikutan peraturan yang menetapkan keperluan membayar cukai akan lupus selepas 10 tahun. -- Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment