Friday, July 8, 2011

Bersih berkeras mahu ke Stadium Merdeka

MAHU ELAK PERISTIWA BERULANG: Kerajaan Malaysia sedang berusaha mengelakkan perhimpunan Bersih 2.0, esok, seperti yang pernah berlaku pada 10 November 2007, di Kuala Lumpur, yang menyaksikan lebih 60,000 penyokong Bersih berhimpun meminta diadakan pembaharuan dalam pilihan raya. -- Foto AP

Beri alasan terlalu suntuk tukar rancangan, orang ramai dinasihat jauhi KL

KUALA LUMPUR: Kecewa dengan pendirian kerajaan berhubung isu lokasi bagi satu perhimpunannya esok, Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 berkata ia akan berhimpun di Stadium Merdeka, di sini, walaupun kerajaan enggan membenarkan kumpulan itu mengadakan di sana.

Bersih 2.0 menegaskan ia tidak akan memindahkan perhimpunannya dari Stadium Merdeka, esok, sambil berkata terlalu suntuk bagi penyokongnya menukar rancangan.

Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang memimpin gerakan pembaharuan pilihan raya itu, selepas menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, semalam memberitahu wartawan bahawa Bersih 2.0 akan meneruskan rancangannya itu dan memohon permit polis serta meminta kebenaran pentadbir stadium itu secepat mungkin.

'Beberapa penyokong kami mungkin sudah menuju ke Stadium Merdeka,' kata beliau meskipun kumpulan itu dinasihatkan supaya menjauhi Kuala Lumpur.

'Saya terkejut apabila kerajaan persekutuan memberitahu kami supaya pergi ke negeri (yang ditadbir) Pakatan Rakyat (PR). Apakah kerajaan persekutuan cuba memberitahu kami bahawa PR lebih baik?'

Datuk Ambiga berkata demikian sebagai merujuk kepada saranan para pemimpin Barisan Nasional (BN) berhubung perkara itu, kelmarin.

Sebelum itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, sudah pun menawarkan menjadi hos perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam.

Datuk Ambiga, yang diiringi anggota jawatankuasa pandu Bersih 2.0, Encik Wong Chin Huat dan Seniman Negara, A. Samad Said, berkata mereka pada mulanya ditolak oleh Stadium Merdeka kerana tidak mempunyai permit polis terdahulu.

Namun, mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia itu berkata Tan Sri Ismail menjelaskan, semalam, bahawa gerakan itu harus terdahulu meminta izin pentadbir lokasi tersebut sebelum diberi permit polis.

Bagaimanapun, pihak polis meminta Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan itu di luar Kuala Lumpur.

'Saya mengesyorkan kepada mereka agar mengadakan di luar Kuala Lumpur. Jangan menyebabkan kesesakan di Stadium Merdeka yang dekat dengan pusat bandar raya dan menyebabkan gangguan,' kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Bersih 2.0 itu.

Polis memperoleh perintah mahkamah melarang seramai 91 individu berkaitan dengan Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) daripada memasuki Kuala Lumpur, esok.

Antara nama dalam senarai itu termasuk Datuk Ambiga; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali; Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin; dan anggota jawatankuasa pandu Bersih, Cik Maria Chin Abdullah.

Seramai 66 orang dalam senarai itu daripada Bersih 2.0; 14 daripada Perkasa dan 11 lagi daripada Pemuda Umno.

Polis juga akan menutup seberapa banyak jalan raya ke Kuala Lumpur - satu langkah yang dilihat bertujuan melumpuhkan perhimpunan pada hari itu. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment