SHAH ALAM 7 Julai - Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini menegur jawapan 'tak pasti' yang diberikan oleh anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya pada kebanyakan soalan yang dikemukakan oleh barisan pembelaan pada sesi soal balas.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat teguran tersebut terhadap Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, atau Rita, sambil menyifatkan jawapan sedemikian bukanlah satu jawapan yang boleh membantu.
"Cuba ingat. Tak pasti tak jadi jawapan tetapi hak awak untuk jawab tak pasti. Tapi kalau asyik jawapan tak pasti, itu tidak membantu. Tak pasti berbeza dengan tak tahu sebab tak pasti ini maknanya awak tidak tahu perkara tersebut berlaku atau tidak,'' kata hakim terbabit.
Terdahulu, puluhan jawapan 'tak pasti' itu yang diberikan oleh pengarah syarikat Nouvelle Visages Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Visages) sejak Jun 2010 dilihat telah menjengkelkan peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillion dan Amer Hamzah Arshad.
Manjeet pada satu ketika dengan sinis menyatakan 'tak pasti is a wonderful word' (tak pasti adalah satu perkataan yang mengagumkan) sebagai respons kepada jawapan Rita dan ia turut 'dipetik' semula oleh Amer Hamzah apabila berulang kali menerima jawapan yang sama daripada gadis tersebut.
Antara soalan yang menerima jawapan tersebut ialah siapa setiausaha syarikat Nouvelle Visages, adakah Rita memberikan sebarang dokumen kepada pihak polis dan adakah pihak polis ada memberikan borang serah terima kepada Rita.
Bagaimanapun, ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, gadis itu menyatakan dia sering memberikan jawapan tidak pasti atau yang seumpama dengannya kerana dia 'terlalu gugup, tak boleh nak fikir, terlalu banyak benda yang berlaku dan cemas'.
Menjawab pertanyaan Hakim Akhtar sejurus selepas itu sama ada perasaan cemas tersebut berlaku pada hari kejadian atau pada prosiding hari ini, Rita menyatakan perasaan tersebut timbul pada hari kehilangan ibunya dan apabila dia memikirkan semula mengenai kejadian tersebut, terlalu banyak perkara yang tidak diingatinya.
Pada peringkat awal soal balas, Rita menafikan bahawa ibunya 'tidak ada duit' sehingga terpaksa mempercepatkan tarikh cek yang diterima daripada seorang peguam bernama Pathma bagi membolehkan wang tersebut digunakan untuk memberi bonus pekerja dan hadiah kepada ahli keluarganya.
"Saya tak kata dia (Sosilawati) tak ada duit. Yang saya tahu dia nak cepatkan sebab nak bagi bonus dan duit pada adik-adik dia. Saya tak tahu niat lain ibu saya untuk bayar apa-apa, yang saya tahu nak bayar bonus dan bagi duit pada adik-adik dia,'' tegasnya ketika disoal Manjeet.
Dia juga tidak mengetahui syarikat milik ibunya itu mempunyai simpanan sebanyak RM1.9 juta pada penghujung 2009.
Sementara itu, ketika disoal oleh Amer Hamzah kenapa dia menunggu sehingga malam keesokan harinya untuk membuat laporan polis berhubung kehilangan ibunya, Rita menyatakan, ia berikutan anggota polis di sebuah balai berhampiran rumahnya memberitahunya bahawa laporan orang hilang hanya boleh dibuat selepas 24 jam.
Tempoh 24 jam itu pula dikira dari waktu terakhir dia dapat bercakap dengan ibunya dan juga rakan-rakan ibunya yang lain, pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim yang turut ke Banting pada tarikh kejadian.
No comments:
Post a Comment