Selepas ditinggalkan, Kamariah Johar, 53, turut menggalas tanggungjawab menyara dan membesarkan kesemua anaknya yang kini berusia 26 hingga 19 tahun dengan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang manakala gaji yang diperolehi sebanyak RM380 sebulan.
“Walaupun menanggung kesedihan selepas suami tidak mempedulikan keadaan kami anak beranak apabila dia berkahwin lain, saya terus bangkit daripada kesedihan demi masa depan anak-anak yang ketika itu masih kecil,” katanya.
Paling tidak dapat dilupakan ketika Ramadan, Kamariah sekeluarga hanya menikmati juadah ala kadar seperti nasi dan telur masak kicap akibat kesempitan hidup.
Dia juga perlu berjimat dengan lebih mengutamakan perbelanjaan persekolahan anaknya.
“Saya juga tidak dapat menahan kesedihan apabila anak-anak menangis meminta baju dan kasut raya... dengan gaji yang saya miliki sudah tentu tidak mampu memenuhi kemahuan mereka, mujur saudara-mara bersimpati dan turut membantu,” katanya.
Kamariah berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menerima sumbangan barangan keperluan asas sumbangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor sempena Ramadan di tapak Pasar Tani, Bandar Baru Uda, di sini, kelmarin.
Ketika ditemu bual, wanita itu turut mengalirkan air mata menceritakan keadaan hidupnya sekarang selepas menjalani pembedahan akibat kanser.
Dia juga tidak mampu untuk bekerja dan hanya mengharapkan wang yang diberikan anak-anaknya.
“Selepas menjalani pembedahan saya juga perlu berulang-alik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail bagi rawatan susulan termasuk radioterapi,” katanya yang memperuntukkan RM100 sebulan sebagai tambang teksi untuk tujuan berkenaan.
Beliau juga mengakui tidak menerima bantuan kewangan bulanan daripada agensi tertentu setakat ini, selain tidak pernah mengemukakan permohonan kerana tidak tahu prosedurnya.
“Semenjak tidak bekerja, anak-anak ada membantu menghulurkan duit belanja termasuk membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan namun saya memahami keadaan mereka yang mempunyai pendapatan sederhana,” katanya yang tinggal di Jalan Aman 8, Kempas.
http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9392393.asp
No comments:
Post a Comment