Tuesday, August 2, 2011

Jerman gusar militan Kristian tiru Breivik

BERLIN: Agensi keselamatan Jerman memberi amaran bahawa wujud kemungkinan pelampau Kristian lain meniru serangan yang dilakukan Anders Behring Breivik di Norway dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai terbaru mengikut agenda anti-Islam. 
Breivik membunuh 77 orang menerusi pengeboman dan tembakan rambang di Norway 22 Julai lalu selepas meninggalkan arahan terperinci dalam internet mengenai rancangannya melakukan pertumpahan darah itu tanpa menarik perhatian polis.

“Perbuatannya boleh menjadi panduan kepada orang lain meniru serangan itu,” kata Alexander Eisvogel, naib presiden badan antipengganas domestik, Agensi Persekutuan bagi Perlindungan Perlembagaan (BfV) kepada majalah berita Der Spiegel.
“Dari sudut pandangan pengganas, dia secara teliti merancang bagaimana mengelak daripada dikesan anggota keselamatan. Kami bimbang dengan perkara ini,” kata Eisvogel. 

Secara berasingan, pemimpin parti pembangkang utama Jerman, Sosial Demokrat, Sigmar Gabriel, menggesa perkhidmatan keselamatan Jerman dan penyedia perkhidmatan internet mengambil tindakan lebih tegas ke atas pelampau sayap kanan online. 

“Di Jerman, jika seseorang secara terbuka berkata dia mahu bunuh orang lain atau melakukan serangan, orang awam akan laporkannya kepada polis. 

“Tetapi, reaksi berbeza jika ia dilakukan di internet. Di sana, penghinaan, malah gesaan membunuh dianggap sebagai satu bentuk kebebasan,” kata Gabriel kepada radio Deutschlandfunk. 
Sementara itu, di OSLO, hujah Breivik tidak waras ketika melakukan serangan tidak akan diterima kerana dia kelihatan sedar dengan tindak tanduknya, kata ketua panel yang mengkaji keadaan mentalnya. 

Keputusan mengenai keadaan mental Breivik akan menentukan sama ada dia boleh dipertanggungjawabnya atas jenayah itu menerusi hukuman penjara atau dihantar ke wad psikiatrik untuk rawatan. – Reuters/AFP
http://www.bharian.com

No comments:

Post a Comment