MERIAM ANNING JAMARIL rakyat Filipina bersama anaknya, Muhammad Jumlayan Jamaril mendaftar di kaunter pendaftaran Program 6P di Jabatan Imigresen Putrajaya, semalam. |
198 pejabat seluruh Semenanjung dibuka pastikan Program 6P lancar
PUTRAJAYA: Mulai semalam hingga 14 Ogos ini, semua 198 pejabat imigresen di seluruh Semenanjung akan beroperasi 24 jam, bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P).
Pada masa sama, semua pejabat imigresen terbabit memperuntukkan 90 peratus operasi kaunter pendaftaran Program 6P, manakala baki 10 peratus lagi menguruskan pendaftaran pekerja asing sah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Dasar dan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata sehingga semalam 1,639 lokasi pendaftaran dikendalikan 336 syarikat pengurus sudah beroperasi dengan dipantau 389 pegawai imigresen.
Baki 111 lagi dibuka sebaik lokasi dimaklumkan syarikat pengurus.
Sehubungan itu, beliau meminta syarikat pengurus terbabit segera mengesahkan lokasi operasi syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi mengelakkan masalah.
Selain itu, katanya, imigresen juga mengenal pasti masalah berpunca daripada sistem komputer di lokasi pendaftaran yang tidak memenuhi keperluan sokongan perisian digunakan program 6P.
Alwi berkata, pengesahan awal memudahkan imigresen menentukan petugas untuk urusan pemantauan dan urusan kunci masuk sistem perisian pendaftaran berkomputer digunakan bagi program itu.
Beliau berkata, sehingga 31 Julai lalu, 767,068 pekerja asing sah didaftarkan di seluruh negara sejak program pendaftaran bermula 13 Julai.
Program itu dilanjutkan ke tarikh yang belum ditetapkan.
Di Sabah pula, katanya, seramai 116,000 pendatang tanpa izin didaftarkan sehingga 31 Julai lalu sejak program sama dilancarkan pada 18 Julai lalu dan dijangka berakhir 8 Ogos ini, manakala di Sarawak pendaftaran pekerja asing sah di 28 lokasi bermula semalam.
Sementara itu, tinjauan di kaunter pendaftaran 6P di ibu pejabat imigresen di sini semalam, mendapati urusan pendaftaran berjalan lancar sebaik saja kaunter pendaftaran dibuka pada jam 8 pagi.
http://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment