Tuesday, August 2, 2011

Putera Mahkota Thai guna wang sendiri



Gambar bertarikh 13 Julai merakamkan pesawat Boeing 737 milik Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn disita di Lapangan Terbang Munich, selatan Jerman. - AFP


BANGKOK 1 Ogos - Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn akan menggunakan wang sendiri bagi mendapatkan semula pesawatnya yang disita di Jerman ekoran pertikaian berhubung hutang antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan sekretariat diraja Thailand hari ini, Vajiralongkorn berharap pembayaran melalui bon itu akan menyelesaikan masalah undang-undang antara kerajaan Thai dengan syarikat pembinaan Jerman, Walter Bau AG berhubung hutang yang belum dilunaskan oleh kerajaan Thailand kepada syarikat berkenaan.
Kenyataan itu berkata, Putera Mahkota itu juga tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan seumpama itu dan mahu ia diselesaikan dengan baik secepat mungkin.
Sekretariat itu menjelaskan, perselisihan itu juga diharap tidak akan memberi kesan kepada hubungan Thailand-Jerman.
Mahkamah di Jerman memerintahkan pesawat Boeing 737 milik Putera Mahkota itu dirampas pada 11 Julai lalu dan mengarahkan kerajaan Thailand membayar deposit sebanyak AS$20 juta (RM84.7 juta) sebagai bon keselamatan bagi membolehkan pesawat itu dipulangkan.
Kerajaan Thailand turut menghantar Menteri Luar, Kasit Piromya ke Jerman bagi meminta pihak berkuasa negara itu melepaskan pesawat berkenaan pada pertengahan bulan lalu. - Agensi
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment