Tuesday, August 2, 2011

Isteri mohon siasatan


KUALA LUMPUR: Isteri kepada Baharudin Ahmad yang meninggal dunia selepas menghadiri perhimpunan Bersih, 9 Julai lalu memfailkan satu notis usul menuntut perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk satu siasatan bagi menyiasat punca kematian suaminya.
Rosni Malan, 55, hadir bersama dua anaknya memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Patrick Dass & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah di sini, pada jam 2.30 petang, semalam.

Dalam permohonan yang difailkan, Rosni sebagai plaintif menamakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara, Majistret Kuala Lumpur dan pendakwa raya sebagai responden.

Rosni turut memohon perintah supaya semua laporan serta bedah siasat yang disiapkan terhadap mayat suaminya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan semua laporan polis, percakapan saksi serta lain-lain dokumen relevan berkenaan kematian suaminya diserahkan kepada peguamnya.

Dia turut menuntut satu siasatan mengikut tatacara di dalam Kanun Prosedur Jenayah dapat dijalankan.

Sementara itu, dalam afidavit sokongannya yang turut dilampirkan, dia memberitahu suaminya pergi menyaksikan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.


Berdasarkan maklumat saksi, beberapa das gas pemedih mata ditembak ke arah orang ramai dan mereka terpaksa berlari mencari tempat perlindungan dan dalam suasana kelam-kabut itu, dia dimaklumkan suaminya jatuh dalam kesakitan dan mengalami keadaan susah bernafas akibat menghidu gas pemedih mata.



Menurutnya, suaminya akan hidup sehingga hari ini, sekiranya polis bertindak berhati, bertanggungjawab serta berperikemanusiaan dalam mengawal dan menyelia perhimpunan itu.
Dia juga tidak berpuas hati dengan semua pihak yang membuat laporan dan kenyataan media bahawa kematian suaminya kerana sakit jantung.


Berdasarkan laporan media yang tidak konsisten yang turut disertakan dalam permohonannya itu, dia mahukan perkara itu disiasat untuk mendapat penjelasan sebenar berkenaan kematian suaminya itu.


Siasatan ini penting kerana dia dan ahli lain keluarga memandangkan isu ini mendapat publisiti luas, adalah dalam kepentingan awam supaya kebenaran kepada punca kematian suaminya dapat diketahui secepat mungkin.


Tambahnya lagi, suaminya sebelum ini sihat dan tidak pernah mengalami sakit dada ataupun tanda sakit jantung. Oleh itu, dia meragui kenyataan polis suaminya mati akibat sakit jantung.
http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment