Tuesday, August 2, 2011

Polis Australia diberi kuasa guna kekerasan



SYDNEY 1 Ogos - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard hari ini berkata, polis negara ini diberi kuasa untuk menggunakan kekerasan bagi memaksa pencari suaka politik menaiki pesawat untuk dihantar ke Malaysia.
Kumpulan pertama pencari suaka politik yang tertakluk kepada perjanjian pertukaran pendatang yang ditandatangani dengan Malaysia baru-baru ini tiba dengan bot di Australia, semalam selepas memulakan pelayaran dari Indonesia.
Pelarian seramai 54 orang yang kebanyakannya lelaki Afghanistan, Iraq dan Iran itu ditahan di pusat tahanan kawalan ketat di Pulau Christmas sebelum dibawa menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.
"Mematuhi arahan bukan dilakukan secara sukarela dan ini bermakna langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan pendatang haram ini menaiki pesawat di sini dan turun dari pesawat di destinasi," kata Gillard kepada stesen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) apabila ditanya sama ada kekerasan akan digunakan.
Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 25 Julai lalu, Malaysia bersetuju untuk menerima 800 pencari suaka yang belum diproses, kebanyakannya dari Asia Barat, yang dihantar oleh Australia.
Sebagai balasan, Kuala Lumpur akan menghantar kira-kira 4,000 pelarian yang sudah diproses dan diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakannya dari Myanmar, ke Australia.
Gillard mengaku kerajaannya belum dapat menunaikan janjinya bahawa pencari suaka akan menaiki pesawat ke Malaysia dalam tempoh tiga hari selepas mereka tiba di Australia, kerana terdapat kelewatan dalam mengatur kemudahan penginapan di Kuala Lumpur.
"Apabila sistem sudah beroperasi sepenuhnya, pendatang akan dihantar ke sana dalam masa 72 jam," katanya.
Gillard sebelum ini berkata, menghantar pencari suaka terus ke Malaysia akan menyebabkan mereka yang masih menunggu di Indonesia membatalkan hasrat untuk membayar wang kepada penyeludup manusia bagi menaiki bot ke Australia.
Jurucakap parti pembangkang, Parti Liberal bagi hal-ehwal Imigresen, Scot Morrison berkata, perjanjian tersebut tidak akan membawa kesan yang diingini.
Katanya, sejak perjanjian itu diumumkan pada 7 Mei lalu, 12 bot tiba di Australia dengan membawa sejumlah 621 pencari suaka.
Cadangan asal supaya perjanjian itu berkuat kuasa 7 Mei lalu digugurkan, dan kini hanya pendatang yang mendarat di Australia selepas 25 Julai tertakluk kepada perjanjian tersebut. - dpa
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment