Tengku Adnan nafi BN bakal hilang 2 negeri hasil pemilihan olok-olok
KUALA LUMPUR: Simulasi pilihan raya yang diadakan UMNO sejak Mei lalu, menunjukkan peningkatan sokongan terhadap parti itu dan komponen Barisan Nasional (BN) di seluruh negara, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Laporan (portal berita) itu satu pembohongan kerana simulasi yang kita jalankan membuktikan sebaliknya. Hasil simulasi menunjukkan peningkatan sokongan di setiap bahagian UMNO,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau mengulas laporan portal itu bahawa BN mungkin kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan keputusan pilihan raya olok-olok yang dijalankan UMNO, kecuali parti itu meletakkan calon popular dan boleh diterima akar umbi.
Tokoh politik dari Perak turut terkejut dengan dakwaan yang dibuat portal itu dan menegaskan laporan berkenaan tidak berasas.
Ahli Dewan Undangan Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata jentera UMNO dan BN seharusnya tidak hilang fokus dengan tohmahan seumpama itu.
“Namun hakikat yang perlu diakui semua pihak adalah, dalam era sekarang, UMNO dan BN perlu sentiasa bekerja keras serta memastikan hanya mereka yang benar-benar di terima peringkat akar umbi dan benar-benar berkemampuan dipilih menjadi calon,” katanya.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R Ganesan, berkata kaedah turun padang dan program mesra rakyat dilihat sebagai cara paling berkesan untuk memastikan sokongan terhadap BN terus meningkat.
“Ketika ini BN Perak yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sentiasa bersama rakyat dalam pelbagai program dan aktiviti yang dirancang.
“Daripada program ini, kami mendapati sokongan terhadap BN semakin meningkat. Saya menganggap laporan portal itu sebagai tidak mencerminkan hakikat sebenar,” katanya.
Kelmarin, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengarahkan pemimpin MCA Perak supaya memberi perhatian terhadap usaha memenangi semula pilihan raya umum akan datang kerana hasil maklum balas yang diterima menunjukkan parti itu mampu meraih keputusan lebih baik berbanding 2008.
http://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment