Saturday, September 3, 2011

300 temui ajal setiap hari

MOGADISHU: Kematian penghuni kem penempatan rakyat Somalia yang sengsara akibat kebuluran meningkat setiap hari dan jumlah kematian di kem berkenaan dianggarkan mencecah 300 orang sehari.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Somalia, Duale Adam Mohamed Zen berkata, kekurangan ubat dan vaksin serta pakar perubatan menjadi penyebab utama kematian kebanyakan penghuni kem penempatan dalaman (IDPs).

Katanya, di Somalia ada tidak sampai 300 doktor dan di Mogadishu pula tidak lebih 100 orang, malah keadaan diburukkan dengan kemudahan serta ubatan tidak mencukupi.

“Masalah utama kami membantu rakyat Somalia terutama kanak-kanak dan wanita yang sakit disebabkan kurang zat serta vitamin adalah tidak cukup kepakaran serta kemudahan dalam bidang perubatan.

“Bantuan bekalan ubatan memang diterima daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan mereka sentiasa memantau kami, namun itu tidak mencukupi kerana kami masih kekurangan pakar perubatan untuk merawat jutaan rakyat kami yang menderita,” katanya ketika menerima kunjungan hormat kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau cukup gembira dengan kehadiran kumpulan misi bagi membantu rakyat Somalia yang turut menderita akibat perang saudara berpanjangan sejak lebih 20 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment