Saturday, September 3, 2011

WikiLeaks: Saya tak pernah sokong Pakatan, kata Salleh Keruak



KOTA BELUD, 3 Sept — Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, laporan WikiLeaks mengenai komen beliau berkaitan kegagalan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan pada 16 September 2008, adalah tidak benar.
“Saya tidak pernah mengesahkan atau menyokong ahli Parlimen pembangkang atau Pakatan Rakyat. Pada masa itu, setahu saya, pembangkang cuba sedaya upaya untuk menawan hati anggota Parlimen dari Sabah tetapi mereka gagal untuk menarik mereka.
“Apa yang berlaku lebih pada “perang psikologi” yang dilakukan oleh pembangkang untuk tidak menstabilkan kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata Salleh, bekas ketua Menteri Sabah, dipetik Bernama Online.
Laporan media semalam menyebut, kabel Kedutaan Amerika Syarikat mendedahkan yang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sekumpulan ahli politik dari Sabah dan Sarawak merancang untuk keluar BN pada 16 September 2008, berikutan kedua-dua negeri itu dipinggirkan.
Satu entri dalam kabel itu, yang disiarkan oleh WikiLeaks, menyatakan Salleh memberitahu pegawai kedutaan tersebut bahawa lebih separuh daripada jumlah 25 anggota Dewan Rakyat dari Sabah bersedia untuk meninggalkan BN.
Kabel itu mendakwa bahawa pegawai kedutaan tersebut mendapati “tidak ada sokongan” untuk kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di kalangan ahli politik senior yang mengadakan beberapa siri pertemuan di negeri ini dari 18 hingga 20 Jun 2008.
mkini

No comments:

Post a Comment