Saturday, September 3, 2011

Dunia dirayu 'kekal jalin perpaduan' bantu Somalia


SERBA KEKURANGAN: Seorang wanita dan anaknya, yang tidak seimbang pemakanannya, kelihatan sedang berehat keletihan dalam wad di Hospital Banadir, di Mogadishu, ibu kota Somalia, kelmarin. -- Foto REUTERS



NAIROBI: Ketua unit pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, lewat kelmarin membuat rayuan kepada masyarakat antarabangsa supaya kekal menjalin perpaduan dengan Somalia, sambil berkata gabungan musim kemarau dan konflik di negara 'Tanduk Afrika' itu telah menyebabkannya menghadapi satu krisis kemanusiaan yang paling buruk.
Berucap dalam satu sidang akhbar di Nairobi, Kenya, selepas lawatan tiga harinya ke negara 'Tanduk Afrika' itu untuk menunjukkan perpaduannya dengan rakyat Somalia yang dijejas kebuluran semasa perayaan Aidilfitri, Encik Guterres juga merayu bagi mendapatkan bantuan besar-besaran bagi rakyat Somalia yang turut menghadapi perang saudara.'Inilah masanya untuk merayu ke arah perpaduan antarabangsa dan merayu bagi bantuan besar-besaran kepada rakyat Somalia dalam Somalia,' kata Encik Guterres kepada para wartawan di Nairobi.Ketua unit pelarian PBB itu, yang diiringi oleh Menteri bagi Pembangunan dan Kerjasama Antarabangsa Sweden, Cik Gunilla Carlsson, berkata dunia harus membiayai negara 'Tanduk Afrika' yang sedang dijejas kebuluran bagi mengelak rakyat Somalia daripada kekontangan.'Kami tidak mahu Somalia kekontangan tetapi mahu berusaha menyediakan bantuan dalam negara itu. Kami mahu rakyat Somalia mempunyai hak memilih untuk tinggal dalam negara mereka sendiri dan, oleh itu, satu pengerahan besar-besaran dari segi keupayaan dan bantuan diperlukan,' kata Encik Guterres.Beliau berkata adalah lebih baik bagi masyarakat antarabangsa menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan daripada menyaksikan jumlah orang yang ramai mengambil risiko dalam kehidupan mereka untuk mencari bekalan makanan, air, perlindungan dan perkhidmatan lain yang diperlukan.'Saya fikir UNHCR (Pejabat Pesuruhjaya PBB bagi Pelarian) seperti juga pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan lain perlu berusaha dengan rendah hati untuk menyedari bahawa kita belum berbuat secukupnya di Somalia, bahawa apa yang kita lakukan belum mencukupi dengan keperluan rakyatnya,' kata beliau lagi.Encik Guterres berkata agensi pelarian PBB itu sedang membantu kira-kira 850,000 pelarian Somalia di negara-negara jirannya. -- Agensi.

No comments:

Post a Comment