MOGADISHU 2 Sept. – Situasi di Somalia dijangka bertambah buruk apabila segala sistem termasuk kesihatan dan pengurusan persekitaran di negara itu dilihat gagal berfungsi dengan baik.
Penasihat Teknikal kepada Menteri Kesihatan, Dr. Abdi Awad Ibrahim berkata, selain kekurangan ubat untuk menangani masalah pesakit akibat kebuluran, Somalia kini berhadapan dengan masalah sistem bekalan air bersih.
Memburukkan lagi keadaan, jelasnya, adalah sistem saliran dan pengurusan sampah sarap yang tidak terurus selain kelemahan dalam sistem sanitasi.
‘‘Kami memerlukan kemudahan kesihatan yang baik. Di Mogadishu sahaja, kami hanya memiliki tidak kurang 100 orang doktor. Kami juga memerlukan kaunselor untuk menangani kesan psikologi.
‘‘Bencana kemarau yang melanda menyebabkan 3.5 juta penduduk berhadapan dengan situasi kebuluran dan ia pasti akan bertambah. Kanak-kanak dan wanita, khususnya, menghidap cirit-birit serta makanan tidak seimbang. Bayangkan, 200 orang meninggal dunia setiap hari akibat cirit-birit dan konflik bersenjata.
‘‘Situasi ini dijangka bertambah buruk ekoran ketiadaan sistem bekalan air bersih, sistem saliran dan pengurusan sampah sarap yang teruk,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di pejabat Kementerian Kesihatan, dekat sini hari ini.
Turut sama dalam pertemuan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Somalia, Duale Adam Mohamad.
Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berada di Somalia bagi menjalankan misi kemanusiaan ekoran kebuluran melanda negara itu yang disebabkan oleh kemarau panjang.
Mengulas lanjut, Dr. Abdi Awad berkata, selain ancaman kesihatan, Somalia masih diancam peperangan terutamanya pertempuran antara kumpulan Al-Shabab dan tentera kerajaan.
‘‘Ini membuatkan ramai penduduk yang menderita,” tegasnya.
Ditanya mengenai kehadiran agensi misi kemanusiaan asing ke Somalia, jelasnya, kerajaan gembira dengan bantuan pihak luar tetapi segala bantuan perlulah diurus dengan baik mengikut saluran kementerian.
Sementara itu, Ketua Pengarah Hospital Mata Kebangsaan, Dr. Abdisemad Hassan Mohammed ketika ditemui berkata, pihaknya memerlukan sumbangan pelbagai agensi dalam membantu memperbesarkan hospital berkenaan bagi membolehkan ia merawat pesakit terutamanya pesakit katarak dengan lebih meluas.
Katanya, ekoran berlakunya kebanjiran mangsa kebuluran di kem perlindungan sementara berdekatan iaitu Kem Bad-Badoo, hospitalnya terpaksa merawat pesakit katarak antara 80 dan 100 orang pesakit setiap hari.
‘‘Kami hanya ada sebuah bilik pembedahan dengan dibantu 31 staf perubatan. Rawatan di sini adalah percuma menerusi pembiayaan Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Agensi Pengurusan Bencana Somalia, Abdulhakim Ahmed Guled memberitahu, pihaknya berhadapan dengan masalah mendapatkan statistik terkini mangsa kebuluran ekoran kegagalan pelbagai pihak mengemaskini bilangan mereka di kem-kem perlindungan sementara.
‘‘Apa pun, kita sedang memikirkan pelan pemulihan terhadap mangsa di kem perlindungan,” katanya.
No comments:
Post a Comment