Puding koktail, kek coklat Aleesha digemari keluarga pada Aidilfitri |
KUALA TERENGGANU: “Arwah (Mohd Ashraf) paling sibuk setiap kali raya. Dia pandai memasak dan selalu menjamu tetamu dengan menu istimewanya, puding koktail dan kek coklat yang juga sering ditempah rakan,” kata ibu Allahyarham Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz.
“Kami buat juga puding koktail dan dihidangkan pada tetamu pada rumah terbuka kami kelmarin. Mulanya saya tak mahu buat, sebab rasa tak sanggup apabila mengenangkan arwah. Namun, adiknya beriya-iya mahu saya membuat puding itu, tetapi rasanya tak sesedap seperti yang dibuat arwah. Tahun ini kali pertama rumah kami tidak ada kek coklat kerana lazimnya arwah yang sediakan.
“Ketika arwah ada, saya tidak perlu susah payah kerana semua kerja dia selesaikan. Dari memasak, mengemas, malah menjahit sekali pun, arwah memang berkebolehan. Pendek kata arwah memang boleh diharap,” katanya yang mesra melayan wartawan yang menziarah keluarganya sempena Aidilfitri di rumahnya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, di sini.
Yah berkata, biarpun sudah lebih sebulan anaknya meninggalkan mereka, kenangan bersamanya yang sangat rajin di dapur sering membuatkannya sebak, malah kadangkala terasa arwah berada di belakangnya setiap kali dia memasak.
“Arwah memang pandai dan suka memasak, malah kalau dia masak mi segera pun sedap. Arwah sering membantu saya di dapur. Sejak arwah tiada, kadang-kadang ketika sedang memasak, saya terasa dia berada di belakang kerana memang tabiatnya berdiri di belakang memerhatikan saya memasak.
“Arwah memang mahir melakukan kerja dapur, tetapi tidak pandai melakukan kerja berat. Kalau kipas di rumah berhabuk pun, arwah tidak akan panjat tangga untuk membersihkannya, tetapi meminta saya menunggu adik lelakinya pulang.
Arwah juga pandai bersolek dan mengambil upah menyolek orang kahwin,” katanya.
Dalam mengenang kebolehan arwah, Yah sempat memberitahu, Mohd Ashraf berkelakuan pelik sebelum meninggal dunia, antaranya memakai purdah ketika keluar pada malam sebelum jatuh sakit. bharian
No comments:
Post a Comment