Saturday, September 3, 2011

Satu daripada 4 anak tak bantu ibu bapa



Oleh S Anand Kumar dan Muhd Amirul Faiz Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/09/03

ISM bimbang lebih ramai warga tua berdepan kesempitan hidup jika keadaan berterusan 

KUALA LUMPUR: Kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) merumuskan nisbah satu daripada empat rakyat negara ini gagal memberi bantuan kewangan kepada ibu bapa mereka, sekali gus bimbang lebih ramai warga tua akan berdepan kesempitan hidup jika keadaan itu berterusan.
Pengarahnya, Prof Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata walaupun sudah mendirikan rumah tangga, tanggungjawab anak ke atas ibu bapa jangan diabaikan terutama soal kewangan atau kebajikan.
“Sama ada anak lelaki atau perempuan, tanggungjawab ke atas ibu bapa masing-masing tetap sama. Walaupun kadangkala ada anak menghadapi masalah kewangan, bukan bermakna mereka tidak harus menghulurkan wang kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai lebih 500,000 ibu bapa yang terdiri daripada warga tua di negara ini tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing bagi meneruskan kehidupan. 

Penemuan itu hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia (KPKM) kali ke-4 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta dipadankan dengan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Wan Mahmood Pawan Teh, berkata pihaknya risau jika isu berkenaan berterusan untuk tempoh berpanjangan, lebih ramai warga tua menderita sekiranya tiada pendapatan tetap seperti pencen. 
“Ketika usia ibu bapa kian meningkat, anak berperanan memberi sokongan kepada ibu bapa... jangan abaikan tanggungjawab sebagai anak. Saya amat berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memberi perhatian serius kepada isu ini bagi mengelakkan lebih ramai warga tua hidup merempat,” katanya.bharian

No comments:

Post a Comment